Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Pastikan kelancaran Majlis Konvokesyen PB

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Bagi memastikan kelancaran Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei (PB) ke-8 yang akan berlangsung esok, sesi raptai penuh bagi majlis tersebut telah diadakan di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Pada majlis konvokesyen itu, lebih 600 orang pelajar akan menerima sijil Diploma Tahap 5 dalam pelbagai jurusan program di bawah Sekolah Perdagangan; Sekolah Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT); Sekolah Sains dan Kejuruteraan; Sekolah Sains Kesihatan; dan Sekolah Petrokimia.

    Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dijangka menyampaikan sijil diploma berkenaan kepada para pelajar yang diraikan dan seterusnya menyampaikan beberapa anugerah termasuk Anugerah Pelajar Terbaik, Anugerah Kecemerlangan Akademik, Anugerah Aktiviti Pengayaan dan Anugerah Inovasi.

    Di samping itu, majlis juga menyaksikan penyampaian Anugerah Duta China, yang merupakan sebuah program bersepadu di antara Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Pendidikan, kepada 14 orang penerima yang terdiri daripada pelajar-pelajar terpilih yang kini masih dalam tempoh pengajian di PB.

    PB yang ditubuhkan pada 2012 merupakan salah satu institusi pengajian tinggi awam di Negara Brunei Darussalam berkonsepkan transformasi pendidikan teknikal sejajar dengan evolusi landskap ekonomi tempatan dan global.

    Ini secara langsung mempengaruhi kemahiran anak bangsa mengikut peredaran semasa dan keperluan masa hadapan bagi mewujudkan tenaga kerja negara sekali gus mempercepatkan pembangunan sumber manusia, khususnya bagi mencapai matlamat negara menerusi Rancangan Kemajuan Negara (RKN) dan menuju Wawasan Brunei 2035.

    Antara penuntut PB yang menghadiri sesi raptai penuh, kelmarin. – Gambar oleh Bahyiah Bakir
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...