Saturday, April 27, 2024
26.1 C
Brunei

    -

    Pasukan Tabuan diberi sambutan wira

    Oleh Fadhil Yunus –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Pasukan bola sepak kebangsaan Negara Brunei Darussalam kembali ke tanah air kelmarin dengan sambutan wira dan tepukan gemuruh berikutan kemenangan 3-2 menentang Vanuatu semasa perlawanan antarabangsa Siri FIFA 2024.

    Pasukan Tabuan, yang merupakan ahli persatuan yang bergabung di bawah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFF), melakar kemenangan perlawanan antarabangsa menentang pasukan dari Konfederasi Bola Sepak Oceania (OFC).

    Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), Haji Feisal bin Haji Eusoff berkata, “Kami sedang mencari jalan bagaimana untuk mengatasi cabaran dalam bola sepak dan Insya Allah, kami akan membuktikan kepada negara”.

    Haji Feisal berkongsi bahawa pertemuan dengan Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) memberikan input yang positif dan SAFF, FIFA dan AFC akan terus memberikan sokongan terhadap perkara yang berkaitan dengan bola sepak di samping pemantauan oleh FABD.

    Sementara itu, ketua jurulatih kebangsaan, Mario Rivera Campesino berkata, “Semoga pemain muda dapat sokongan yang sepatutnya dan mereka boleh bermain untuk 13 hingga 14 tahun akan datang.

    Pasukan kebangsaan semasa disambut di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Beliau menambah, “Jika mereka boleh menyertai 10 hingga 12 perlawanan antarabangsa setiap tahun, mungkin dalam masa dua hingga tiga tahun prestasi pasukan negara akan sangat berbeza”.

    Mario memuji bintang negara, Hakeme Yazid Said yang memberikan impak dalam permainan setelah membantu pasukan menjaringkan ketiga-tiga gol termasuk menjadi penjaring gol kemenangan pada minit ke-93 perlawanan.

    Dia berkata, “Hakeme sangat penting dan dia masih muda. Dia masih perlu belajar tetapi kemahiran dan keupayaannya dengan bola adalah menakjubkan dan juga usahanya. Dia boleh bermain dalam posisi berbeza.”

    Ketua jurulatih itu juga mendedahkan bahawa penyerang itu boleh meneruskan kerjaya profesional di luar negara.

    Persefahaman antara Hakeme Yazid dan rakan sepasukannya terutamanya sejak pasukan remaja kebangsaan telah membentuk asas yang baik untuk masa depan.

    Selain itu, pasukan kebangsaan juga telah menyaksikan kemunculan pemain muda yang membuka laluan kepada generasi bakat baharu ditambah lagi dengan penampilan jersi baharu pasukan.

    “Generasi baharu ini sangat bagus. Mereka mempunyai permainan taktikal yang sangat baik, hantaran yang baik dan mereka suka bermain.

    “Mereka mengatasi semua masalah dan mereka cuba belajar dan mendengar,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...