Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    PBB: Negara kaya tidak selamat untuk kanak-kanak

    NEW YORK, 24 MEI – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan negara kaya mewujudkan keadaan hidup yang tidak selamat untuk kanak-kanak di rumah dan di seluruh dunia.

    Laporan Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) yang dikeluarkan pada hari ini menyeru negara dunia supaya mengurangkan sisa dan pencemaran bagi mengatasi masalah berkenaan.

    Pusat Penyelidikan Innocenti UNICEF mengkaji 39 negara daripada Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan Kesatuan Eropah (EU) mengikut kriteria yang berbeza, termasuk penggunaan racun perosak, kelembapan rumah, pendedahan plumbum, akses kepada penjanaan cahaya dan sisa.

    Walaupun Sepanyol, Ireland dan Portugal menunjukkan prestasi yang agak baik, tiada satu pun negara yang dikaji didapati menyediakan persekitaran yang sihat untuk kanak-kanak, menurut laporan itu.

    “Bukan sahaja majoriti negara kaya gagal menyediakan persekitaran yang sihat untuk kanak-kanak dalam lingkungan sempadan mereka, mereka juga menyumbang kepada kemusnahan persekitaran kanak-kanak di bahagian lain dunia,” kata pengarah pusat itu, Gunilla Olsson dalam satu kenyataan.

    Bagaimanapun, laporan itu menyatakan negara kurang kaya di Amerika Latin dan Eropah mempunyai kesan yang lebih rendah ke atas keadaan umum berbanding dengan beberapa negara kaya yang dikaji.

    Laporan itu juga mendedahkan ramai kanak-kanak menghirup udara toksik di dalam dan di luar rumah, terutamanya di Mexico, walaupun tidak di Finland dan Jepun.

    Di Belgium, Israel, Belanda, Poland, Republik Czech dan Switzerland, lebih satu daripada 12 orang kanak-kanak terdedah kepada tahap pencemaran racun perosak yang tinggi, kata laporan itu.

    Di 39 negara yang dikaji, lebih 20 juta kanak-kanak mempunyai tahap plumbum yang tinggi dalam darah mereka, tambahnya. – AFP

    Kanak-kanak berlatarbelakangkan sebuah kolam di taman di Lenexa, Kanada. Negara kaya mewujudkan keadaan hidup yang tidak selamat untuk kanak-kanak di seluruh dunia, kata PBB.- AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...