Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak diutamakan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Memperkasakan wanita, yang merangkumi 47 peratus daripada jumlah penduduk adalah kunci untuk membuka potensi penuh bagi usaha pembangunan negara, dan dengan itu, kemajuan wanita dan kanak-kanak perempuan adalah diutamakan dalam agenda negara.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad semasa mewakili Negara Brunei Darussalam pada Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Kebajikan dan Pembangunan Sosial (AMMSWD) ke-11 yang telah diadakan melalui persidangan video kelmarin dengan tema Accelerating ASEAN’s Commitments for Gender Equality and Inclusivity through Gender Mainstreaming and Social Inclusion.

    Mesyuarat yang dihadiri oleh menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan pembangunan sosial dan Setiausaha Agung ASEAN berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Puan Yang Terutama Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

    Semasa mesyuarat itu, Yang Berhormat Dato seterusnya mengongsikan penglibatan tinggi wanita dalam penggubalan dasar awam, sementara itu, di sektor swasta, berdasarkan 2021 ASEAN Gender Outlook, laporan bersama antara ASEAN dan UN Women menunjukkan bahawa Negara Brunei Darussalam mempunyai nisbah penjawat wanita dalam peringkat eksekutif tertinggi di rantau ini.

    Sungguhpun dengan kemajuan sedemikian, tambah beliau, Negara Brunei Darussalam mempunyai komitmen untuk memajukan pembangunan wanita, dan mengongsikan mengenai Kajian Pembangunan Wanita di Negara Brunei Darussalam yang baru sahaja selesai dijalankan selama satu tahun.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menegaskan akan manfaat social inclusion dan perlindungan sosial yang meluas untuk semua segmen masyarakat ke arah memastikan kualiti hidup yang mampan dan tinggi, selaras dengan Wawasan Brunei 2035, dan berkongsi mengenai beberapa penambahbaikan kepada dasar dan perundangan kebajikan sosial di Negara Brunei Darussalam.

    Beliau juga mengalu-alukan keazaman bersama ASEAN untuk mengukuhkan institusi keluarga khususnya melalui Bandar Seri Begawan Declaration on the Importance of Family for Community Development and Nation Building, yang memperkukuh strategi keseluruhan ASEAN bagi meningkatkan lagi kesejahteraan, ketahanan dan perpaduan keluarga.

    Yang Berhormat Dato menekankan bahawa keluarga yang teguh memainkan peranan penting dalam membina komuniti yang mantap dan negara yang berdaya tahan dan oleh yang demikian, usaha hendaklah bukan sahaja tertumpu kepada individu, tetapi juga kepada ekosistem yang lebih luas.

    Menurut kenyataan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), pada mesyuarat tersebut, menteri-menteri antara lain mengesahkan semula komitmen ASEAN untuk menggalakkan kesaksamaan jantina melalui gender mainstreaming dan social inclusion di rantau ASEAN selaras dengan ASEAN Community Vision 2025 dan ASEAN Socio-Cultural Community Blueprint 2025 serta pelbagai deklarasi dan pelan tindakan ASEAN.

    ASEAN seterusnya menekankan pelaksanaan komitmen yang berkesan dan cepat adalah penting untuk mencapai Agenda Pembangunan PBB 2030.

    Pada sebelah petang, AMMSWD+3 ke-7 telah diadakan yang dihadiri oleh menteri-menteri yang bertanggungjawab bagi kebajikan dan pembangunan sosial dari Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea.

    Antara lain, menteri-menteri mengulangi komitmen untuk mengukuhkan lagi dan memperdalam kerjasama ASEAN Plus Three dan menggariskan sifat saling memperkukuh dan saling melengkapi dalam ASEAN Plus Three dan rangka kerja lain yang diterajui oleh ASEAN.

    Mesyuarat didahului oleh 2nd ASEAN Outstanding Social Welfare and Development Awards (AOSWADA) yang telah diadakan pada 24 Mei melalui persidangan video, yang bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan atau pertubuhan masyarakat awam (NGO/CSO) dan syarikat-syarikat swasta dari negara anggota ASEAN yang telah memberi sumbangan signifikan dalam bidang kebajikan dan pembangunan sosial.

    Bagi tahun ini, SMARTER Brunei telah menerima Anugerah AOSWADA bagi Kategori Pertubuhan NGO/CSO, manakala Bank Baiduri menerima Anugerah AOSWADA bagi Kategori Sektor Swasta sebagai mengiktiraf sumbangan mereka dalam bidang kebajikan dan pembangunan sosial di Negara Brunei Darussalam yang memberi manfaat kepada orang kelainan upaya, kanak-kanak dan belia.

    Mesyuarat-mesyuarat tersebut telah didahului oleh 17th ASEAN GO-NGO Forum on Social Welfare and Development pada 22 Mei, The 18 th Senior Officials Meeting on Social Welfare and Development pada 23 Mei, dan The 17th Meeting of the ASEAN Plus Three Senior Officials Meeting on Social Welfare and Development (17th SOMSWD+3) pada 24 Mei.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan pegawai-pegawai kanan dari KKBS.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...