Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Pembunuh senyap: Pencemaran bunyi lalu lintas

    CALIFORNIA – Mike Thomson tinggal di sebuah tempat yang sangat tidak selesa, berdekatan dengan lebuh raya yang sibuk dan bising.

    Keadaan itu membuatkan rakan-rakannya enggan menginap di rumahnya. Lebuh raya itu digunakan untuk perlumbaan, trak berenjin diesel, motosikal dan kereta yang diubah suai secara haram untuk mengeluarkan bunyi yang lebih kuat. Keadaan itu membuatkan Mike sering terjaga dari tidurnya lima atau enam kali setiap malam.

    “Kereta-kereta sentiasa lalu-lalang dan mengeluarkan bunyi bising,” kata lelaki berusia 54 tahun itu, yang mengubah suai rumah sebagai pendapatannya. “Suasana di sini sangat teruk. Saya tidak mengesyorkannya kepada sesiapa pun,” tambahnya.

    Tertekan oleh bunyi bising

    Thomson adalah mangsa pencemaran bunyi, yang mana pakar kesihatan memberi amaran bahawa ia adalah masalah yang semakin meningkat dan bukan sahaja menjejaskan pendengaran, tetapi juga menyebabkan keadaan berkaitan tekanan seperti kebimbangan, tekanan darah tinggi dan insomnia.

    Pengubal undang-undang California telah meluluskan dua undang-undang pada tahun 2022 bertujuan untuk mengurangkan bunyi bising.

    Pembesar suara yang dipasang di dalam kereta ini mengakibatkan pencemaran bunyi. – ANN/The Star
    Kereta-kereta melalui kota Manhattan, di New York. Selepas pandemik, Bandar New York telah kembali dipenuhi dengan kenderaan yang mengeluarkan bunyi bising. – AP
    Perlumbaan kenderaan secara haram, seperti yang dilihat dalam siri filem Fast and Furious, adalah punca utama bunyi bising yang berlebihan menganggu penduduk sekitarnya. – ANN/The Star

    Undang-undang pertama telah mengarahkan polis lebuh raya California untuk menguji kamera yang dapat mengesan bunyi, yang mungkin akhirnya akan mengeluarkan tiket denda automatik untuk kereta yang membuat bunyi melebihi tahap tertentu.

    Undang-undang kedua memaksa pemandu kereta yang mengubah suai secara haram untuk membaikinya sebelum ia boleh mendaftar semula.

    Penulis undang-undang kamera bunyi, Senator Anthony Portantino berkata, “Terdapat aspek masyarakat kita yang suka membuat bising dan berasa bangga dengan bunyi yang dihasilkan.”

    Namun, beliau turut menambah, “Ini tidak seharusnya mengganggu kesihatan orang lain di ruang awam.”

    Kebanyakan negeri di Amerika Syarikat (AS) belum mengambil tindakan terhadap pencemaran bunyi. Trafik adalah punca utama pencemaran bunyi, yang menyebabkan komuniti yang tertekan lebih terjejas, dan semakin sukar untuk melarikan diri daripada bunyi mesin pemotong rumput, pembinaan dan gangguan lain.

    Undang-undang California akan mengambil masa dan mempunyai kesan yang sangat terhad, tetapi pakar kawalan bunyi menganggapnya sebagai permulaan yang baik.

    Walau bagaimanapun, tidak banyak yang dilakukan untuk menangani pencemaran bunyi dari udara, seperti helikopter polis yang membuat rondaan, dron yang berbunyi kuat dan sumber-sumber bunyi yang lain, yang merupakan dalam bidang kuasa kerajaan AS, kata Pengarah Eksekutif Noise Pollution Clearinghouse, Les Blomberg.

    Bahaya kesihatan

    Pada bulan Oktober 2021, Persatuan Kesihatan Awam AS menyatakan bahawa bunyi merupakan bahaya yang dapat menjejaskan kesihatan awam.

    Berpuluh-puluh tahun penyelidikan yang dijalankan menunjukkan bahawa pencemaran bunyi bukan sahaja mengganggu tidur, malah boleh menyebabkan pelbagai penyakit kronik seperti penyakit jantung, kecacatan kognitif, depresi dan kemurungan.

    “Walaupun kesan kesihatan yang luas dan serius, bunyi tidak diutamakan sebagai punca masalah yang menjejaskan kesihatan awam selama berpuluh-puluh tahun,” menurut kenyataan itu.

    “Magnitud dan keutamaan masalah bunyi sebagai bahaya yang dapat menjejaskan kesihatan awam memerlukan tindakan segera,” tambahnya.

    “Apabila berlaku bunyi yang kuat, sistem pendengaran akan menghantar isyarat bahawa ada sesuatu yang tidak kena, hal ini mencetuskan tindak balas kepada badan dan mengeluarkan hormon stres yang menyebabkan radang dan akhirnya boleh menyebabkan penyakit,” kata Pensyarah Kesihatan Alam Sekitar T.H. Chan School of Public Health, Harvard University, Peter James.

    Pendedahan terhadap bunyi yang berterusan boleh meningkatkan risiko penyakit jantung sebanyak 8 peratus dan diabetes sebanyak 6 peratus, menurut kajian. Agensi Alam Sekitar Eropah menganggarkan pada tahun 2020, pendedahan bunyi menyebabkan sekitar 12,000 kematian awal dan 48,000 kes penyakit jantung setiap tahun di Eropah Barat.

    Tegakkan undang-undang demi capai matlamat

    Sementara pegawai polis lebuh raya California akan menghabiskan beberapa tahun berikutnya untuk menyelidik kamera bunyi, namun mereka mengakui bahawa bunyi dari perlumbaan jalanan dan sesi latihan yang dikenali sebagai sideshows di mana orang menyekat persimpangan atau tempat letak kereta untuk membakar tayar atau melakukan aksi doughnuts telah meningkat dengan ketara dalam beberapa tahun terakhir dan mengganggu ketenteraman penduduk di persekitaran negara tersebut.

    Kenderaan di California sepatutnya beroperasi pada 95 diesel atau lebih rendah, yang lebih rendah daripada mesin blower atau mesin pemotong rumput. Namun, pemandu sering mengubah kenderaan dan motosikal mereka supaya lebih nyaring, seperti memasang whistle tips pada sistem ekzos kenderaan untuk menghasilkan bunyi.

    Pada tahun 2021, pegawai peronda lebuh raya telah mengeluarkan 2,641 tiket saman kepada pemandu kerana bunyi kenderaan yang berlebihan, hampir dua kali ganda daripada 1,400 saman yang dikeluarkan pada tahun 2018.

    “Sentiasa ada masalah bunyi yang dihasilkan dari bunyi ekzos kenderaan yang bising, dan ia telah mendapat lebih banyak perhatian baru-baru ini,” kata pegawai peronda jalan raya, Andrew Poyner. “Ia telah meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun yang lalu.”

    Persatuan Kesihatan Awam AS mengatakan kerajaan persekutuan perlu mengawal bunyi di udara, di jalan raya, dan di tempat kerja sebagai bahaya alam sekitar. Namun, tugas itu telah hampir ditinggalkan sejak Pejabat Kawalan Bunyi dan Kawalan AS telah dikurangkan pada tahun 1981 di bawah arahan Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan.

    Kini, tugas menenangkan masyarakat kebanyakannya adalah tanggungjawab para penduduk di negeri-negeri dan bandar-bandar AS. Di California, pengurangan bunyi bising selalunya adalah hasil daripada perubahan dasar alam sekitar yang lain. Sebagai contoh, kerajaan akan mengharamkan penjualan blower gas bising mulai 2024, langkah ini bertujuan mengurangkan pelepasan yang menyebabkan pencemaran udara.

    Pada tahun 2022, California telah mengesahkan undang-undang bising yang salah satunya ialah AB 2496 yang memerlukan pemilik kenderaan yang telah dikenakan tiket saman untuk memperbaiki masalah bising sebelum mereka boleh mendaftar semula kenderaan melalui Jabatan kenderaan bermotor.

    Pada masa ini, pemandu boleh membayar denda dan membiarkan kereta yang diubah suai secara haram seperti asal. Undang-undang ini akan berkuatkuasa pada tahun 2027.

    Undang-undang lain, SB 1097, me-ngarahkan polis lebuh raya untuk mencadangkan jenama kamera mengesan bunyi bising untuk diperuntukkan dalam perundangan sebelum tahun 2025. Kamera-kamera ini yang sudah digunakan di Paris, Perancis, New York City dan Knoxville serta Tennessee akan mengeluarkan tiket saman secara automatik jika ia mengesan kereta yang bergegar dengan bunyi kuat di jalan.

    Asalnya, undang-undang ini akan dibuat program rintis untuk memulakan ujian kamera di enam buah bandar, tetapi ahli parlimen berkata mereka mahu melangkah dengan perlahan dan hanya mengesahkan kajian.

    Portantino berkata dia sangat terkilan dengan penundaan tindakan itu, terutamanya disebabkan jalan-jalan di Los Angeles telah menjadi hampir tidak mampu untuk menahan bunyi bising.

    “Ia semakin teruk,” katanya. “Orang ramai mengubah suai kereta mereka, dan perlumbaan jalanan masih menjadi masalah,” tambahnya.

    “Namun, negara itu bertindak bijak untuk menyasarkan bunyi yang paling kuat pada mulanya, iaitu kereta dan motosikal yang mengganggu orang ramai secara dominan,” kata Blomberg.

    “Awda boleh membuat setiap kereta yang keluar dari barisan dengan hanya separuh bunyi bising berbanding sekarang dan ia akan mempunyai kesan yang sangat sedikit jika awda tidak menangani masalah orang yang membuang penapis ekzos kenderaan mereka,” katanya.

    “Semua itu melebihi segala-galanya,” tambahnya. Kebisingan lalu lintas tidak mempengaruhi semua orang dengan sama. Dalam satu kertas kerja 2017, Asisten Profesor James dan rakan-rakannya mendapati tahap kebisingan di malam hari lebih tinggi dalam kalangan komuniti yang berpendapatan rendah dan penduduk bukan berkulit putih di AS.

    “Kami telah membuat keputusan ini secara sengaja atau tersirat sebagai masyarakat untuk meletakkan komuniti kulit minoriti dan komuniti berpendapatan rendah yang mempunyai kuasa politik paling sedikit di kawasan berhampiran lebuh raya dan lapangan terbang,” katanya.

    Elaine Jackson, 62, merasakan perbezaan itu dengan ketara berbanding di tempat perkampungannya, komuniti berpendapatan rendah di utara Sacramento yang terletak di antara lebuh raya.

    Pada hujung minggu, karnival dan kebisingan lalu lintas menyebabkan dia tidak dapat tidur. Sarafnya terganggu, dia tidak cukup tidur, anjingnya panik, dan merasa tidak selamat dan terlupa, bimbang bahawa pembangunan baharu di kawasan tempatannya hanya akan membawa lebih banyak lalu lintas, kebisingan dan pencemaran udara.

    Polis dan penggubal undang-undang nampaknya tidak peduli, katanya, walaupun dia dan jirannya sentiasa menimbulkan kebimbangan mereka dengan pihak berwajib tempatan.

    “Sukar untuk tidur pada malam hari dan ini adalah isu kualiti hidup.” – ANN/The Star

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...