Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Penambahan tanpa kebenaran diarah roboh

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Sebuah perusahaan penyimpanan barang yang terletak di Kampung Kilanas, Mukim Kilanas telah diarahkan untuk menghentikan aktiviti dan merobohkan bangunan tambahannya kerana telah melanggar Bab 23(2), Perintah Perancangan Bandar dan Desa, 2015 (TCPO) iaitu menjalankan kegiatan perusahaan dan membina tambahan bangunan tanpa kebenaran perancangan.

    Menurut Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), kegiatan penyimpanan barang itu dijalankan di atas lot yang bersyaratkan perumahan dan perniagaan sampingan yang mana tidak sesuai untuk tujuan penyimpanan barang-barang perusahaan dan pembinaan.

    Tambahan bangunan tersebut telah digunakan sebagai tempat penyimpanan bahan binaan yang melibatkan garis bangunan yang tidak teratur dan berbahaya.

    Selepas pemantauan dan pemeriksaan rutin dilakukan pada Jun 2022, pemilik didapati telah mematuhi arahan pihak berkuasa dengan menghentikan aktiviti, merobohkan tambahan bangunan dan membersihkan kawasan tersebut.

    Dalam kenyataannya, JPBD mengingatkan orang ramai untuk mematuhi undang-undang perancangan khususnya Bab 23 TCPO yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh melaksanakan pemajuan atas tanah, memecah atau menyatukan mana-mana tanah atau melaksanakan apa-apa kerja di dalam suatu kawasan pemuliharaan tanpa kebenaran perancangan. Kegagalan dalam mematuhi boleh dikenakan denda sepertimana dalam Bab 23 (6) iaitu denda tidak melebihi $200,000; dan dalam hal kesalahan yang berterusan dikenakan suatu denda tambahan tidak melebihi $10,000 bagi setiap hari selama mana kesalahan itu berterusan selepas disabitkan.

    Bagi sebarang aduan dan khidmat nasihat perancangan orang ramai bolehlah menghubungi hotline JPBD di talian 8200222.

    Gambar menunjukkan bangunan tambahan sebelum dan selepas dirobohkan.- Gambar serahan JPBD
    Bangunan tambahan diarah dirobohkan kerana menjalankan kegiatan perusahaan dan membina tambahan bangunan tanpa kebenaran perancangan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...