Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Pengecualian yuran pindahan wang dilanjutkan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Sektor perbankan telah melanjutkan pengecualian yuran dan caj, kecuali caj pihak ketiga, bagi pemindahan wang antara bank-bank domestik secara dalam talian melalui sistem Real Time Gross Settlement (RTGS) dan sistem Automated Clearing House (ACH) untuk tempoh enam bulan sehingga 31 Disember 2022 bagi semua pelanggan bank.

    Pelanjutan pengecualian berkenaan akan menyokong sektor perniagaan dan individu beralih kepada norma baharu disebabkan oleh COVID, umum Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dalam kenyataannya di sini, hari ini.

    Pengecualian berkenaan telah mula diperkenalkan sejak 1 April 2020 sebagai salah satu daripada langkah interim sektor perbankan bertujuan menangani impak COVID.

    Pengecualian berkenaan juga bertujuan menggalakkan penjarakan sosial dan mempromosikan penggunaan platform pembayaran digital yang ditawarkan oleh bank-bank dan perkhidmatan pembayaran digital yang lain. Di samping itu, selepas 30 Jun 2022, BDCB tidak lagi memberikan kelonggaran terhadap beberapa peraturan perbankan kepada bank-bank dan syarikat-syarikat kewangan.

    Kelonggaran tersebut, yang telah diberikan sejak 1 April 2020, berpera-nan membantu sektor perbankan untuk menghulurkan bantuan sementara dengan cekap kepada peniaga-peniaga dan individu-individu yang terkesan semasa permulaan pandemik COVID.

    Oleh itu, bermula 1 Julai 2022, sebarang bantuan dari sektor perbankan adalah tertakluk kepada budi bicara bank dan syarikat kewangan masing-masing. Negara Brunei Darussalam telah dikurniakan nikmat untuk kembali kepada kehidupan sebelumnya dengan penerapan norma baharu dalam kehidupan seharian. Para peniaga dan individu yang telah mendapat bantuan sementara daripada bank atau syarikat kewangan adalah dinasihatkan untuk terus berhubung dengan bank atau syarikat kewangan masing-masing.

    Peminjam yang boleh meneruskan pembayaran balik secara normal dinasihatkan untuk menguruskannya dengan sedemikian bagi mengelakkan pengumpulan hutang yang tidak diingini.

    Peminjam yang masih terkesan dari segi kewangan adalah dinasihatkan menghubungi bank atau syarikat kewangan masing-masing untuk mencari penyelesaian pembayaran balik alternatif secepat mungkin.

    BDCB mengongsikan bahawa sektor perbankan di Negara Brunei Darussalam adalah kekal berdaya tahan, kukuh dan mempunyai dana modal yang mencukupi. BDCB akan terus memantau kedayatahanan sektor perbankan dan bersedia untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga kestabilan sektor kewangan negara.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubu-ngi bank-bank atau syarikat-syarikat kewangan mereka masing-masing atau menghubungi BDCB di talian 8318388 atau e-mel, info@bdcb.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...