Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Penternak Yaman resah gelisah menjelang Aidiladha

    HAJJAH, YAMAN – Di Midi, sebuah daerah pesisir pantai di wilayah Hajjah di barat laut Yaman, penternak kambing biri-biri atau lembu tempatan sedang bersiap sedia untuk menyambut Aidiladha yang menjelang tiba.

    Selepas berbulan-bulan memberi makan, mengembala, dan menjaga ternakan mereka, para petani mendapati bahawa menjual ternakan mereka adalah cabaran terbesar di negara yang dilanda peperangan.

    “Sumber utama pendapatan kami pada musim ini ialah menjual haiwan itu. Tetapi tidak ramai pembeli di sini kerana peperangan. Ini adalah satu tragedi bagi kami,” kata penternak ternakan Abdo Youssef sambil menambah bahawa orang awam adalah golongan yang menanggung beban peperangan negara yang berpanjangan.

    Bagi rakyat Yaman, memastikan jamuan hari raya Aidiladha semakin sukar, memandangkan majoriti rakyat hidup dalam kemiskinan yang semakin teruk dan hanya beberapa langkah sahaja daripada kebuluran.

    Fayed Ali, seorang lagi petani di Midi, berkata dia terpaksa menjual beberapa ternakannya pada harga lebih rendah minggu ini kerana dia memerlukan wang untuk menyara keluarganya.

    Kelihatan petani Yaman memberi makan kambing di Daerah Midi Wilayah Hajjah, utara Yaman. – Xinhua
    Seorang petani mengunci pintu kandang kambingnya. – Xinhua
    Penternak Yaman terpaksa berhadapan dengan harga makanan ternakan yang melambung tinggi dan kekurangan bahan api yang teruk, dan kini berada di bawah tekanan tambahan akibat permintaan yang semakin merosot daripada kemiskinan berleluasa. – Xinhua

    “Saya menternak ternakan selama lebih setahun setengah, tetapi saya terpaksa menjual sebahagian daripadanya pada separuh harga, atau lebih rendah lagi, untuk membeli makanan, ubat dan pakaian untuk keluarga saya.

    “Saya juga perlu membayar hutang yang terkumpul berbulan-bulan,” kata Ali.

    Di Midi, seekor biri-biri atau kambing dijual antara 170,000 hingga 200,000 riyal Yaman (sekitar AS$170 hingga AS$200), yang agak mahal memandangkan pendapatan per kapita tahunan di Yaman adalah kira-kira AS$2,100.

    Penternak ternakan, yang sudah terpaksa berhadapan dengan harga makanan ternakan yang melambung tinggi dan kekurangan bahan api yang teruk, berada di bawah tekanan tambahan akibat permintaan yang semakin merosot daripada kemiskinan yang berleluasa.

    Lebih-lebih lagi, perang saudara dan huru-hara serta perpecahan yang ditimbulkannya telah menyukarkan ternakan atau bijirin untuk dijual di negara Arab yang miskin itu.

    “Perang ini menghalang kami daripada pergi ke pasar-pasar di bandar-bandar lain untuk menjual ternakan kami. Ia menjadikan kami lebih miskin dan semakin menderita,” kata Ahmed Saghir, seorang petani yang memiliki lebih 200 biri-biri dan kambing, kepada Xinhua di ladangnya di Midi.

    Perang saudara Yaman meletus pada akhir 2014 apabila pemberontak Houthi yang disokong Iran menguasai beberapa wilayah utara dan memaksa kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi keluar dari ibu kota Sanaa.

    Peperangan itu telah memusnahkan ekonomi negara, membunuh berpuluh-puluh ribu orang, dan menyebabkan 4 juta orang kehilangan tempat tinggal, mengakibatkan apa yang dikatakan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sebagai krisis kemanusiaan yang paling teruk di dunia.

    Ahmed Othman, yang memiliki lebih 300 ekor kambing dan biri-biri, berharap gencatan senjata yang sedang diusahakan oleh PBB antara kerajaan dan kumpulan Houthi akan membuka jalan kepada keamanan kekal.

    “Saya berharap gencatan senjata itu dapat menamatkan peperangan selama lebih lapan tahun, membersihkan jalan raya antara bandar dan menghapuskan periuk api. Ini adalah satu-satunya cara untuk menamatkan kesengsaraan kami,” katanya. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...