Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Penyelam Jepun rakam sotong gergasi hidup

    TOKYO, 19 JAN – Sepasang penyelam skuba telah mengambil gambar dan video mengenai seekor sotong gergasi sepanjang 2.5 meter di perairan pantai barat Jepun, awal bulan ini.

    Yosuke Tanaka dan isterinya Miki, yang menjalankan perniagaan menyelam di bandar Toyooka di wilayah Hyogo, telah dimaklumkan mengenai sotong itu oleh penjual peralatan memancing yang telah melihatnya di teluk.

    Pasangan itu membawa bot mereka keluar untuk pergi melihat hidupan laut itu ketika ia terapung berhampiran pantai berbatu.

    “Ia adalah sotong yang sangat besar,” kata Yosuke Tanaka kepada AFP hari ini.

    “Kami tidak melihat pergerakan tangkas yang biasa ditunjukkan oleh kebanyakan ikan dan makhluk laut,” katanya. “Sesungut dan siripnya bergerak sangat perlahan.”

    Gambar yang pernah diambil pada April 2022, menunjukkan sotong besar di perairan pantai Jepun telah menarik minat orang ramai untuk melihatnya. – Agensi

    Saiz haiwan itu sangat besar dan matanya yang besar sangat menarik perhatian, dan Tanaka berkata dia membayangkan sotong sebesar itu mampu menangani ikan paus, yang merupakan antara pemangsa utamanya.

    “Saya dapat melihat sesungutnya bergerak-gerak dan berfikir ia adalah berbahaya jika dicengkam kuat dan dibawa pergi ke suatu tempat,” katanya.

    Sotong gergasi diketahui hidup di perairan sekitar Jepun, dan kadangkala terdampar ke darat.

    Tetapi melihat ia hidup di alam liar masih agak jarang berlaku. Sotong itu kelihatan lemah dan hanya bergerak ‘sangat perlahan’, kata Tanaka.

    Cebisan kulitnya terkelupas dari badannya.

    “Ia sangat mengujakan. Saya rasa tidak ada yang lebih luar biasa daripada ini,” katanya.

    “Saya mendengar bahawa tidak banyak yang diketahui tentang makhluk ini. Saya akan gembira jika ini membantu kita mempelajari lebih lanjut.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...