Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    Peperiksaan BC-GCE, IGCSE catat peningkatan lulus

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Tiga peperiksaan utama iaitu Brunei-Cambridge (BC) GCE ‘A’, ‘AS’ dan ‘O’ Level serta International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) sesi Mei/Jun 2022 mencatatkan peningkatan kadar lulus.

    Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini, menjelaskan daripada 110 calon menduduki peperiksaan BC-GCE ‘A’ Level, seramai 88 orang atau 80 peratus mendapat sekurang-kurangnya satu ‘A’ Level dan 49 calon atau 44.55 peratus mendapat sekurang-kurangnya dua ‘A’ Level.

    Terdapat peningkatan jumlah calon yang memperoleh sekurang-kurangnya tiga ‘A’ Level iaitu sebanyak 10.12 peratus bagi peringkat nasional dan 30.95 peratus bagi peringkat sekolah.

    Manakala daripada 1,462 calon peperiksaan peringkat ‘AS’, seramai 1,396 calon atau 95.49 peratus yang mencapai sekurang-kurangnya satu ‘AS’ Level.

    Calon yang mendapat sekurang-kurangnya dua ‘AS’ Level di peringkat nasional adalah seramai 1,233 calon atau 84.34 peratus dan pencapaian calon sekolah adalah seramai 1,228 calon atau 84.40 peratus.

    Peningkatan juga dicatatkan bagi jumlah calon yang memperolehi sekurang-kurangnya tiga ‘AS’ Level iaitu sebanyak 1,075 calon atau 73.53 peratus bagi peringkat nasional dan 1,070 calon atau 73.54 peratus bagi peringkat sekolah.

    Kementerian turut mengongsikan bagi Peperiksaan BC GCE ‘O’ Level dan IGCSE seramai 1,087 calon menduduki peperiksaan sesi Mei/Jun 2022, menurun sebanyak 19.30 peratus berbanding tempoh sama pada 2021.

    Daripada jumlah itu, seramai 852 calon adalah calon sekolah dan 235 calon persendirian.

    Bagi peringkat sekolah, seramai 183 calon atau 21.48 peratus telah mendapat sekurang-kurangnya empat kredit ‘O’ Level, 47 calon atau 5.52 peratus mendapat sekurang-kurangnya lima kredit ‘O’ Level dan tiga calon atau 0.35 peratus mendapat sekurang-kurangnya lapan kredit ‘O’ Level.

    Sehubungan itu, para penuntut yang ingin mengambil slip peperiksaan tersebut, bolehlah mendapatkannya di sekolah masing-masing.

    Manakala calon-calon persendirian dikehendaki mengambil slip keputusan mereka di Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan pada waktu pejabat.

    Kementerian turut mengumumkan bagi calon-calon yang berhasrat menduduki peperiksaan BC GCE A/AS/O Level dan IGCSE bulan Oktober/November 2022 ini, masih boleh mendaftar sebagai calon Late Entry dengan dikenakan bayaran kemasukan lewat bagi setiap mata pelajaran yang diambil.

    Tarikh tutup bagi pendaftaran Late Entry tersebut adalah pada Khamis, 8 September ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...