Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Perkasakan pendidikan seimbang

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar Muzi Matdani & Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Pendidikan seimbang perlu benar-benar diperkasa dalam usaha mencorakkan identiti bangsa kerana semakin tinggi dan mantap ilmu seseorang, semakin berupaya ia mengangkat bangsa ke martabat tinggi.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, selaku Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) menekankan perkara itu semasa berkenan bertitah pada Majlis Haflut Takharruj UNISSA ke-11 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas hari ini.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pro-Canselor UNISSA.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menegaskan, bagi pendidikan seimbang yang mementingkan dunia dan ukhrawi, pendidikan sepanjang hayat perlu dititikberatkan.

    “Segulung ijazah bukanlah garis penamat dalam menimba ilmu, sebaiknya ia cuma pendorong dan pencetus semangat ke arah langkah yang lebih jauh lagi,” titah Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah pada Majlis Haflut Al-Takharruj UNISSA ke-11, kelmarin.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan ijazah kepada salah seorang graduan yang diraikan.

    Baginda turut melahirkan kegembiraan apabila UNISSA aktif menawarkan program pembelajaran sepanjang hayat kepada penjawat awam dan swasta serta orang ramai.

    Program seumpama ini baik malah ia perlu diteruskan bukan saja oleh UNISSA tetapi institusi pengajian tinggi yang lain dengan menawarkan program baharu yang relevan dengan keperluan semasa. Ini kerana ia melengkapkan dan mengembangkan kemahiran pengetahuan profesional di kalangan tenaga profesional termasuk tenaga akademik dan tenaga bukan akademik, tekan Baginda.

    Baginda turut bertitah, ia perlu dibuat secara berterusan supaya hasilnya dapat meningkatkan kualiti dan keberkesanan pengurusan di universiti.

    Menyentuh inisiatif penubuhan Unit Pembangunan Profesional di UNISSA, Baginda bertitah bahawa ia akan memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan kompetensi dan kualiti sumber tenaga manusia di UNISSA.

    Selain untuk kecemerlangan pengajaran, UNISSA juga perlu terus bergiat meningkatkan program penyelidikannya, perundangan Islam, perbankan dan kewangan Islam, pertanian, sains halal dan isu kontemporari yang dihadapi oleh masyarakat Islam pada masa ini, yang merupakan bidang boleh diteroka untuk dikaji selidik oleh tenaga akademik UNISSA.

    Pencapaian dan kecemerlangan dalam pengajaran serta penyelidikan itu kelak akan menjadikan UNISSA sebagai antara universiti Islam terkemuka di dunia, tekan Baginda.

    Bagi perkembangan UNISSA dalam penerbitan pula, Baginda memberikan pujian kepada kejayaannya menerbitkan 33 buah buku ilmiah terbaharu pada 2021 yang telah dihasilkan secara kerjasama antarabangsa melalui Pusat Penyelidikan dan Penerbitan UNISSA.

    Menurut Baginda, 33 buah buku dalam pelbagai bidang yang ditulis dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab itu bukanlah satu kerja yang mudah melainkan hasil daripada usaha memeras otak dengan melakukan kajian dan penyelidikan.

    “Kerana itu UNISSA, wajar diberikan pujian berdasarkan usaha seperti ini dapat disifatkan sebagai ‘usaha besar’ yang melayakkan UNISSA memiliki taraf (level of rank) tersendiri dan melihat usaha seperti ini elok diteruskan malah patut dicontohi,” tegas Baginda.

    Terdahulu, Baginda mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang diraikan dan berharap semua akan menggunakan ilmu yang dipelajari untuk sama-sama menangani dan menyelesaikan isu kontemporari yang dihadapi oleh masyarakat Islam pada masa ini.

    Baginda juga merakamkan ucapan setinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA terdiri dari ahli-ahli Majlis dan Senat, rektor, pegawai utama, ahli-ahli akademik dan pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan khidmat bukti menjayakan Majlis Haflut Takharruj ke-11 berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...