Sunday, April 28, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Persediaan untuk situasi tak dijangka

    Kit kecemasan dalam kereta adalah salah satu perkara yang jarang kita terfikir untuk membawanya.

    Hal tersebut adalah benar sehinggalah kereta awda rosak atau apabila awda mengalami kecemasan di mana awda mula berharap yang awda memilikinya yang mana ia mungkin berguna untuk menyelamatkan awda semasa situasi yang sukar.

    Menurut laman web Carlist Malaysia, situasi kecemasan di jalan raya memang tidak dapat diramalkan. Apa yang boleh dilakukan ialah bersiap sedia untuk sebarang musibah – dan bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

    Dengan itu, mari kita lihat 10 barang kecemasan yang perlu ada pada setiap kereta.

    PEMECAH TINGKAP KERETA

    Pemecah tingkap kereta adalah antara alat yang paling penting yang harus disimpan dalam mana-mana kereta.

    Pakai jaket keselamatan reflektif dan letakkan tanda segi tiga amaran sekurang-kurangnya 45 meter dari belakang kereta awda yang rosak atau yang terlibat dalam kemalangan sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya yang lain. – Freepik
    Peti pertolongan cemas sangat berguna tanpa mengira tempat dan masa. – Freepik
    Alat pemadam api dan pemecah tingkap kereta adalah antara alat yang jarang kita fikir berguna, namun ia sangat penting apabila kita menghadapi situasi kecemasan. – Freepik

    Mengapa? Kerana ia boleh menyelamatkan nyawa awda dan penumpang sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dijangka. Contohnya, awda terperangkap dalam kereta akibat kemalangan atau kereta awda terjunam ke dalam sungai dan awda tidak dapat membuka pintu. Di sinilah pemecah tingkap kereta akan berguna.

    Oleh itu, adalah penting untuk awda memilikinya dan menyimpannya di tempat yang mudah diakses, seperti di dalam kotak sarung tangan atau di bawah tempat duduk penumpang hadapan. Sesetengah pemecah tingkap kereta juga disertakan dengan pisau, sekiranya awda perlu memotong tali pinggang keledar awda untuk menyelamatkan diri.

    PEMOTONG TALI PINGGANG KELEDAR

    Seperti pemecah kaca tingkap, pemotong tali pinggang keledar ialah alat yang berpotensi menyelamatkan nyawa awda dan penumpang awda. Seperti namanya, pemotong tali pinggang boleh memotong tali pinggang keledar dengan mudah supaya awda tidak terperangkap di dalam kereta awda jika kancing tali pinggang keledar tersangkut.

    Pada masa kini, awda boleh membeli alat dua-dalam-satu yang menggabungkan pemotong tali pinggang keledar dan pemecah kaca tingkap.

    BOTOL AIR BESAR

    Botol air boleh digunakan untuk membantu awda keluar daripada situasi sukar dalam beberapa cara yang berbeza. Pertama, jika kereta awda kekurangan air, air di dalam botol akan berguna untuk menambahnya. Kedua, jika awda kehabisan minyak, botol air boleh digunakan untuk menyimpan minyak apabila awda akhirnya sampai ke stesen minyak.

    Berhati-hati jika awda pernah meninggalkan botol air di dalam kereta awda dengan air di dalamnya. Tolong jangan minum, kerana pakar kesihatan mengatakan bahawa plastik botol boleh meresap ke dalam air akibat panas.

    PETI PERTOLONGAN CEMAS

    Peti pertolongan cemas selalunya hanya disimpan di rumah dan bukannya di dalam kereta.

    Namun, kecemasan boleh berlaku pada bila-bila masa, tidak kira tempat, bukan? Jadi kit ini pasti akan berguna sekiranya berlaku kecederaan kepada diri sendiri atau penumpang, bukan sahaja jika kereta awda terlibat dalam kemalangan jalan raya malah untuk membantu dalam kemalangan yang mungkin awda saksikan.

    JAKET KESELAMATAN REFLEKTIF

    Ciri pantulan cahaya jaket keselamatan berguna, terutamanya pada waktu malam.

    Jika kenderaan awda rosak di tengah malam dan di kawasan yang gelap, awda boleh memakai jaket ini untuk memastikan awda dapat dilihat oleh pengguna jalan raya lain dan seterusnya mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini.

    SEGI TIGA AMARAN

    Jangan memandang rendah peralatan ini. Segi tiga amaran ialah alat penting untuk digunakan dalam situasi kecemasan, seperti apabila kenderaan awda rosak.

    Sebaik-baiknya letak papan tanda ini sekurang-kurangnya 45 meter dari belakang kereta awda yang rosak atau yang terlibat dalam kemalangan sebagai tanda amaran kepada pengguna jalan raya yang lain.

    PAYUNG

    Payung dianggap sebagai peralatan paling asas yang awda perlukan di dalam kereta awda.

    Jika hujan turun dengan lebat dan awda perlu pergi ke suatu tempat, awda pasti memerlukan payung ini untuk membantu awda ke tempat yang awda perlu pergi tanpa basah kuyup.

    Selain itu, payung juga akan membantu melindungi diri awda daripada cuaca panas sekiranya kenderaan tiba-tiba rosak di jalan raya.

    TAYAR GANTI DAN PERALATAN MENUKAR TAYAR

    Tayar ganti atau kit pembaikan tayar adalah komponen penting yang perlu ada di dalam kereta awda, terutamanya jika awda memulakan perjalanan jarak jauh.

    Namun, jangan lupa untuk memastikan keadaan tayar ganti atau kit pembaikan tayar berada dalam keadaan baik. Selain itu, periksa keadaan tayar ganti awda secara berkala, pastikan ia berada dalam tekanan udara yang betul. Segera tukar tayar ganti awda jika keadaannya tidak memuaskan.

    Selain tayar ganti dan kit pembaikan tayar, awda juga perlu memastikan kereta awda mempunyai kelengkapan untuk menukar tayar seperti jek, perengkuh soket atau perengkuh roda.

    ALAT PEMADAM API

    Alat pemadam api adalah salah satu jenis peralatan yang paling penting yang perlu ada dalam semua kenderaan. Peralatan ini bukan sahaja memadamkan kebakaran yang melibatkan kenderaan awda tetapi juga kenderaan lain yang mungkin memerlukannya.

    KABEL JUMPER DAN LAMPU SULUH

    Bateri kereta awda boleh mati pada bila-bila masa, tanpa mengira tempat dan masa. Oleh itu, bagi mengelakkan awda daripada terkandas untuk tempoh masa yang panjang, awda boleh menggunakan kabel jumper untuk menghidupkan semula bateri agar awda dapat kembali ke jalan raya.

    Menyimpan lampu suluh di dalam kereta boleh menyelamatkan awda dalam lebih daripada satu cara. Walaupun awda dinasihatkan untuk menyimpan lampu suluh di dalam kereta awda untuk membantu mencari sesuatu dalam gelap, satu lagi tujuan lampu suluh adalah untuk membantu orang lain mengetahui bahawa kereta awda telah rosak atau mungkin memerlukan bantuan terutamanya apabila lampu amaran kereta awda mungkin tidak berfungsi atau tidak mencukupi. Lampu suluh juga boleh digunakan untuk membantu menukar tayar pancit pada waktu malam. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...