Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Semua orang diseru untuk bertindak sekarang, tidak kiralah sama ada tindakan kecil dengan menyelaraskan suhu penyaman udara, memandu kereta elektrik atau memasang atap PVF solar, demi masa depan yang berdaya tahan.
Seruan itu ditekankan oleh Pengurus Pusat ASEAN bagi Tenaga, Urus Setia ASEAN, Dr Beni Suryadi semasa menyampaikan ucaptama bertajuk Bertindak Sekarang bagi Masa Depan Berdaya Tahan pada hari ketiga Minggu Tindakan Iklim sempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada persidangan itu ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Dalam ucaptama itu, Dr Beni Suryadi menyatakan perubahan iklim dijangka akan mempunyai impak besar yang luar biasa ke atas negara-negara di rantau Asia Tenggara, mengancam kemakmuran dan kesejahteraan kita.
Menurut beliau, rantau ini adalah salah satu yang paling terdedah kepada perubahan iklim di seluruh dunia.
“Pada 2015, Bank Pembangunan Asia telah meramalkan bahawa perubahan iklim boleh mengurangkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) rantau ini dengan 11 peratus menjelang akhir abad ke-21,” kongsinya.
Memandang ke hadapan, ujar beliau, negara-negara Asia Tenggara menghadapi prospek banjir yang semakin teruk, lebih banyak kejadian cuaca melampau dan kerugian besar di kawasan pantai yang subur dan ini akan memberi kesan kepada bekalan air dan pertanian.
Beliau seterusnya berkata, meskipun dengan trend kerjasama teknikal serantau semakin meningkat untuk meningkatkan daya tahan iklim bagi pertanian ASEAN, kehilangan kawasan-kawasan pertanian rendah utama di negara-negara berpenduduk padat dan berbukit memberi impak serius terhadap penghasilan makanan.
Ini begitu juga dengan sektor perikanan yang mungkin akan mengalami perubahan yang melibatkan risiko kepada keselamatan makanan di rantau ini.
“Dengan kesedaran yang semakin meningkat mengenai trend tenaga global, kita perlu menggalakkan daya tahan tenaga melalui teknologi baharu dan baharu muncul untuk menyokong keselamatan tenaga, akses dan kemampuan,” jelasnya.
Kemudian persidangan diteruskan dengan dua seminar tematik bagi Minggu Tindakan Iklim iaitu Climate Resilient Infrastructure dan Climate Resilient Crops.
Seminar berkenaan telah dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr Abby Tan dan Profesor Madya Dr Mohammad Mansoob Khan dari Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Seminar Climate Resilient Infrastructure menyentuh bagaimana kita boleh membangunkan infrastruktur yang sesuai dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim. Dengan kesan perubahan iklim yang semakin ketara, kebanyakan negara telah melengkapkan diri untuk menghadapi sebarang kesan perubahan iklim yang akan berlaku.
Pembentangan bertajuk Sinergi dalam Pengurangan Risiko Bencana dan Penyesuaian Perubahan Iklim pula telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Kolonel (B) Muhd Harith Rashidi bin Haji Muhd Jamin.
Sementara itu, Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Saliran dan Pembetungan, Jabatan Kerja Raya, Pengiran Azman bin Pengiran Badarudin dan Dr Juliana binti Haji Zaina dari UBD masing-masing telah membentangkan kertas kerja bertajuk Bersediakah Kita Menghadapi Banjir Besar? dan Infrastruktur Pintar yang Cekap untuk Kualiti Kehidupan yang Lebih Baik.
Seminar diteruskan mengenai Application of Technology and Innovation Towards Addressing the Challenges of Climate Change in the Crop Industry in Brunei Darussalam yang telah disampaikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber- sumber Utama dan Pelancongan, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.
Manakala pembentangan bertajuk Using Genomics to Improve Crop Plant Diversity and Resilience telah disampaikan oleh Dr Mohd Sabri bin Mohammad manakala taklimat ketiga adalah berkaitan Agriculture and Food Security Under a Changing Climate oleh Dr Najeeb Ullah, juga dari UBD.