Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Perusahaan sosial bantu petani tingkatkan pendapatan

    KUALA LUMPUR – Kesukaran mendapatkan produk berasaskan bahan semula jadi di pasaran untuk kegunaan dirinya yang mengalami masalah kulit ekzema kronik mendorong Sulie Abell untuk mengasaskan perusahaan sosial Sluvi.

    Bukan itu sahaja, Sulie, 33, yang berasal dari Kampung Melugu, daerah kecil Simanggang juga terdorong mengasaskan perusahaan sosial itu bagi membantu petani meningkatkan taraf ekonomi mereka selepas mendapati ada petani memperoleh pendapatan tidak setimpal dengan hasil pertanian mereka.

    Sluvi, yang diasaskan pada September 2018 menyasarkan untuk menghasil dan mengeluarkan produk semula jadi dan pada masa sama memberi peluang kepada golongan petani menjana pendapatan lumayan menerusi satu jalinan kerjasama strategik.

    “Ia (perusahaan) terlintas di fikiran saya apabila berbual dengan seorang penternak kelulut bernama Nancy di kampung saya.

    “Ketika itu, saya sedang mencari bahan-bahan semula jadi untuk dijadikan sebagai produk penjagaan kulit sendiri, terkejut apabila diberitahu bahawa sesetengah petani atau penternak kelulut hanya menjana pendapatan kira-kira RM200 sebulan,” katanya kepada Bernama.

    Sluvi, yang diasaskan pada September 2018 menyasarkan untuk menghasil dan mengeluarkan produk semula jadi dan pada masa sama memberi peluang kepada golongan petani menjana pendapatan lumayan menerusi satu jalinan kerjasama strategik. – Bernama
    Setakat ini, lima petani yang dilibatkan dalam usaha sama itu adalah dalam kalangan penduduk kampung Sulie dan juga penduduk dari Skra, Simanggang. – Bernama

    Disebabkan terkesan dengan pengakuan tersebut, Sulie yang sudah pun mendapat pendedahan awal tentang perusahaan sosial ketika di universiti, nekad untuk mengubah nasib petani berkenaan melalui jalinan kerjasama yang membolehkan perusahaannya membeli pelbagai hasil tanaman petani. Ini termasuk terung asam Dayak, halia, madu, beras, lidah buaya, limau dan koko, yang dibeli pada kadar berpatutan untuk diproses dijadikan produk seperti sabun, skrub badan, masker muka dan penyegar muka.

    Produk ini kemudiannya akan dijual di pelbagai platform termasuk di Poptron, Miracolo, Shopee, Lazada, Instagram, serta rangkaian kedai Shine Pharmacy, Ranee Artisan Gallery dan Farm Direct Shop di Sarawak. Sulie berkata setakat ini, lima petani yang dilibatkan dalam usaha sama itu adalah dalam kalangan penduduk kampungnya sendiri dan juga penduduk dari Skra, Simanggang dengan semuanya kini telah berjaya menjana pendapatan antara RM900 hingga RM1,500 sebulan.

    Katanya, pada peringkat permulaan, memang sukar untuk pihaknya meyakinkan golongan petani untuk bekerjasama dengan Sluvi kerana mereka belum mempunyai keyakinan tentang projek itu disebabkan pengalaman lalu ditipu oleh para pembeli. Namun hasil usahanya kerap turun padang dan berjumpa sendiri penduduk untuk menerangkan secara menyeluruh tentang projek itu, Sluvi akhirnya memperoleh kerjasama yang baik dan merancang menambah penyertaan bilangan keluarga petani agar produk Sluvi dapat diperluaskan ke pasaran lebih besar.

    “Dalam tempoh tiga tahun akan datang, harapan Sluvi adalah untuk meningkatkan pendapatan petani  kepada kira-kira RM2,000 sebulan dengan kami akan terus melatih mereka menggunakan teknik pertanian dan perladangan baharu bagi menghasilkan tanaman semula jadi yang berkualiti.

    “Ini bertepatan dengan matlamat jangka panjang Sluvi untuk membina ekosistem pertanian yang kuat dan sistematik di kampung seluruh Sarawak kerana melalui projek sebegini, para petani akan mempunyai pendapatan yang lebih mampan dan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan mereka berkenaan bidang pertanian,” katanya.

    Menurutnya matlamat itu juga penting mengambil kira potensi besar bagi pasaran produk kecantikan yang berasaskan bahan semula jadi di negara ini kerana berdasarkan kajian, kira-kira 50 peratus masyarakat di negara ini mempunyai pelbagai masalah kulit.

    “Secara kebetulan juga, ramai yang telah beralih kepada produk semula jadi. Oleh itu boleh dianggap Sluvi memasuki pasaran pada masa yang tepat. Ini terutama apabila 50 peratus daripada 8,000 pelanggan kami sekarang adalah golongan lelaki, jadi ia perkara yang boleh diterokai lanjut,” katanya. Tahun lepas, kerana keazamannya mentransformasikan kehidupan petani menerusi inisiatif berkenaan, Sulie tersenarai penerima anugerah Anak Muda Inovatif dan Berpengaruh Paling Berjaya di Malaysia (Bawah 40) oleh majalah Prestige Malaysia, sementara perusahaannya pula pernah menjadi antara Pemenang Top 5 bagi Anugerah Shell LiveWire 2018, yang menawarkan geran RM15,000. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...