Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Polis NZ, pembantah sekatan COVID-19 bertikai

    WELLINGTON, 10 FEB – Polis dan pembantah antivaksin bertikai di kawasan parlimen New Zealand hari ini, dengan lebih 120 orang ditangkap selepas penunjuk perasaan yang berkhemah di luar badan perundangan itu selama tiga hari telah diarahkan untuk bersurai.

    Aktivis-aktivis melaungkan haka Maori dan menjerit ‘terus bertahan’, ketika mereka bergelut dengan barisan pertahanan pegawai polis yang bergerak menyuraikan penempatan sementara di sekitar parlimen.

    Para pegawai menggunakan semburan lada ke atas beberapa penunjuk perasaan dengan dua daripada rakan mereka mengalami cedera ringan.

    Polis masuk campur awal hari ini selepas mengambil pendekatan tegas semasa bantahan hari pertama, memberi amaran khalayak ramai untuk bersurai atau berdepan tangkapan.

    Bantahan yang bermula Selasa lalu adalah meniru tindakan ‘Freedom Convoy’ daripada pemandu trak Kanada, dengan ratusan buah kenderaan menyekat jalan-jalan di tengah Wellington.

    Banyak kenderaan bersurai selepas 24 jam namun ratusan lagi aktivis tegar kekal di sana dan berikrar untuk bertahan ‘selagi yang mampu’.

    Majlis Perbandaran Wellington, yang juga mengambil pendekatan tidak menonjol dalam bantahan peringkat awal itu mengatakan pegawai parkir mereka juga mula mengeluarkan tiket kepada kenderaan yang menyekat jalan raya tersebut.

    Timbalan Perdana Menteri Grant Robertson berkata kesabaran semakin pudar dalam kalangan penduduk Wellington atas gangguan itu dan menggesa polis untuk bertindak.

    “Jalan-jalan raya telah disekat di bandar itu, perniagaan telah ditutup, orang ramai rasa terancam dan diugut oleh beberapa pembantah,” katanya kepada Radio New Zealand menjelang operasi polis. – AFP

    Penunjuk perasaan menentang polis selepas enggan meninggalkan kawasan parlimen semasa hari ketiga tunjuk perasaan ke atas sekatan COVID-19 di Wellington pada 10 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...