Saturday, April 27, 2024
26.1 C
Brunei

    -

    Produk bahan asas binaan perlu diiktiraf

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menyambut baik perkongsian dan cadangan daripada ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Mohd Salleh bin Haji Othman mengenai penubuhan sebuah organisasi yang diiktiraf untuk meneliti produk keluaran tempatan agar dapat memenuhi piawaian yang ditetapkan semasa Persidangan MMN) ke-14 yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis hari ini.

    Yang Berhormat Menteri Pembangunan seterusnya menjelaskan bahawa walaupun ianya satu cadangan yang baik namun ia memerlukan pendekatan khusus daripada Pusat Standard Kebangsaan dan jabatan-jabatan berkaitan.

    Pada masa ini terdapat barangan diuji dan diiktiraf oleh badan luar negara dan orang ramai digalakkan memilih barang-barang yang diiktiraf.

    Beliau seterusnya menjelaskan mana-mana projek kerajaan diwajibkan menggunakan produk-produk bahan asas binaan dan bahan binaan yang berdaftar dan diiktiraf oleh Kementerian Pembangunan.

    “Produk-produk yang diiktiraf perlu persijilan pengiktirafan kualiti ISO1001, IS014001 dan ujian makmal yang diiktiraf,” tambah beliau.

    Selain itu, setiap jabatan yang melaksanakan projek juga diperlukan untuk menyenaraikan spesifikasi teknikal dan standard dalam dokumen-dokumen kontrak bagi bahan binaan yang akan digunakan mengikut skop keperluan projek termasuk keperluan bagi ujian ketahanan bahan yang diperlukan.

    “Setiap barangan yang dibekalkan dalam projek tersebut perlu menyertakan sijil pengiktirafan sebelum dapat diluluskan untuk digunakan,” tegasnya.

    Beliau turut mengongsikan, Kementerian Pembangunan mempunyai inisiatif untuk menjadi ahli penuh dalam Asia Pacific Accreditation Council (APAC) yang mana dengan pengiktirafan itu nanti, mana-mana makmal yang melaksanakan kerja ujian bahan asas binaan dapatlah diakreditasi untuk diiktiraf selaras dengan makmal yang diiktiraf antarabangsa.

    “Ia bertujuan untuk mengurangkan bebanan seperti isu teknikal barrier di dalam aktiviti eksport import terutamanya bagi bahan asas pembinaan selain dapat membantu dalam pengiktirafan barang-barang tempatan,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...