Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Purata kes jangkitan menurun

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Dalam masa satu minggu kebelakangan ini, jumlah kes COVID yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam telah menunjukkan pengurangan di mana kadar purata harian kes pada minggu ini ialah sebanyak 205 kes sehari, berbanding dengan 283 kes sehari pada minggu lepas.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam sidang media COVID-19 Negara Brunei Darussalam pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    “Sebanyak 57,905 keputusan ujian pantas antigen (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 2.4 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

    Menurut beliau, hari ini, terdapat satu kes berada dalam kategori 5 yakni memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala tiga kes berada di dalam kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

    “Sehingga kelmarin, 28 Ogos 2022, kadar liputan vaksinasi COVID di Negara Brunei Darussalam kekal berada di tahap yang tinggi dengan 77.1 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin dan 9.4 peratus juga telah mendapatkan dos keempat,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Katanya lagi, pada hari ini, sebanyak 178 kes baharu telah dilaporkan iaitu 177 kes hasil ujian ART dan satu kes adalah hasil dari 171 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menyeru orang ramai untuk meneruskan kerjasama dalam membantu pihak kerajaan memantau penularan wabak COVID di negara dengan memuat naik keputusan ART masing-masing, sama ada positif atau negatif ke aplikasi BruHealth.

    “Semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara dari segala bencana dan wabak penyakit serta berada dalam perlindungan Allah SWT,” tambahnya.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa mengongsikan perkembangan terkini jangkitan COVID di negara ini bertempat di Kementerian Kesihatan, kelmarin. Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.– Gambar oleh James Kon
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...