Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Ramadan penggerak perbaiki diri

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Bulan Ramadan adalah kesempatan yang terbaik untuk memperbaiki diri dari sudut ibadat dan mendekatkan diri kepada Allah dan adalah menjadi kerugian sekiranya di bulan ini, hanya sekadar berpuasa di siang hari tanpa melakukan amal ibadat yang lain.

    Khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Melipatgandakan Amal Ibadat Di Bulan Ramadan’ seterusnya menyeru untuk memanfaatkan bulan Ramadan ini dengan ibadat dan menjadikannya sebagai penggerak yang membawa kepada perubahan yang besar dalam diri dan juga keluarga.

    “Amat beruntung orang-orang yang merebut ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah semasa bulan Ramadan ini dan amat rugi bagi orang-orang yang mensia-siakannya.

    “Di bulan inilah masanya untuk melipat gandakan amal ibadat dan mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan beberapa amalan-amalan sunat yang digalakkan,” katanya.

    Khatib menjelaskan, memperbanyakkan amalan bersedekah lebih-lebih lagi di bulan Ramadan, tidak kira kecil atau besar, banyak atau sedikit adalah sangat di galakkan kerana Rasulullah SAW adalah insan yang paling banyak bersedekah.

    Kedua ialah sembahyang sunat Tarawih, di mana digalakkan untuk melaksanakan secara berjemaah lebih-lebih lagi di masjid-masjid, surau dan balai ibadat bagi sama-sama mengimarahkan dan menghidupkan malam-malam Ramadan.

    “Ini kerana barang siapa yang menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadan kerana iman dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, akan diampunkan dosa-dosa yang lalu,” jelasnya.

    Yang ketiga, kata khatib, memperbanyakkan membaca Al-Quran pada bulan ini seperti bertadarus sama ada di pejabat, di rumah dan juga di masjid-masjid.

    Sementara yang keempat pula ialah menyungkaikan di mana amalan memberi makan untuk orang yang berbuka puasa adalah sangat digalakkan dan mempunyai ganjaran yang sangat istimewa.

    Manakala bersahur pula, para ulama telah sepakat mengatakan hukum bersahur adalah sunat dan ada keberkatannya.

    Khatib seterusnya menjelaskan, sunat melambatkan sahur iaitu kira-kira pada kadar membaca 50 ayat Al-Quran sebelum terbit fajar dan antara tujuannya untuk memendekkan masa untuk menahan diri daripada lapar dan melakukan perkara yang membatalkan puasa.

    “Diharap dengan ibadat puasa yang dilaksanakan di sepanjang bulan Ramadan ini mudah-mudahan ibadat kita diterima dan mendapat ganjaran daripada Allah,” jelas khatib semasa mengakhiri khutbah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...