Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Rawat segera kes resdung

    Oleh Muhammad Basir Roslan

    KUALA LUMPUR – Jika anak kecil awda sering bersin, hidung berhingus serta tersumbat selain mata berair dan kelihatan lesu, sebaiknya bawalah dia berjumpa doktor.

    Kemungkinan besar gejala yang dialaminya itu disebabkan oleh resdung, iaitu tindak balas melampau sistem imun (sistem pertahanan tubuh yang lazimnya membantu melindungi tubuh kita daripada zarah-zarah tidak berjangkit yang disedut) terhadap alergen (bahan-bahan yang boleh menyebabkan alahan seperti debunga, hama habuk, bulu haiwan dan asap rokok).

    Resdung boleh diwarisi atau dengan kata lain penyakit keturunan dan apabila di tahap kronik, ia boleh menyebabkan radang teruk dan kegatalan pada membran mukus di dalam hidung, mata dan tekak ketika proses menyingkirkan alergen daripada tubuh.

    Penyakit ini juga boleh menyebabkan pelbagai komplikasi jika tidak dirawat segera, kata Pakar Perunding Telinga, Hidung, Tekak serta Pakar Bedah Kepala dan Leher di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Juani Hayyan Abdul Karaf.

    Ambil masa untuk pulih daripada influenza, COVID
    Dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini, Dr Juani berkata beliau mendapati ada peningkatan ketara kes resdung dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dalam tempoh dua tahun lepas, dan menurutnya, angka itu dijangka terus meningkat jika tiada tindakan pantas diambil oleh ibu bapa.

    Dr Juani berkata beliau mendapati ada peningkatan ketara kes resdung dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dalam tempoh dua tahun lepas dan angka itu dijangka terus meningkat jika tiada tindakan pantas diambil oleh ibu bapa. – Bernama
    Kenal pasti perkara yang mencetuskan gejala resdung dan pastikan persekitaran tempat kerja dan rumah dalam keadaan bersih dan tidak berhabuk.
    Anak kecil yang dibiarkan menghidap resdung kronik tanpa dirawat akan berisiko tinggi mendapat OME iaitu takungan cecair di dalam rongga telinga – yang boleh mencetuskan ketidakselesaan serta menjejaskan kualiti hidup si kecil.

    Katanya, jika seseorang anak kecil mengalami resdung kronik dan kemudian dijangkiti sama ada COVID-19 atau influenza, si anak akan mengambil masa yang lama untuk pulih berbanding mereka yang tiada resdung kronik.

    Ini kerana apabila radang kronik yang dicetuskan oleh resdung di dalam rongga hidung dan di dalam tiub eustachio (saluran kecil yang menghubungkan tekak dengan telinga) tidak dikawal, badan akan mengambil masa lebih lama untuk melawan jangkitan lain.

    “Bukan itu sahaja, kanak-kanak yang tidak disedari mempunyai resdung atau resdung yang tidak dirawat juga lebih cenderung dijangkiti influenza atau COVID kerana radang resdung kronik yang sedia ada akan menjejaskan sistem imun tubuh, dan juga kerana keadaan hidung itu sendiri. Ini akan menyebabkan virus mudah merebak, sekali gus menjadikan keadaan tubuh bertambah teruk.

    “Bagi jangkitan COVID atau influenza, lazimnya seseorang pesakit akan pulih dalam masa lima hingga tujuh hari dan demam adalah antara gejala paling ketara.

    “Namun bagi penghidap resdung kronik, ia (jangkitan COVID atau influenza) akan mengambil masa satu hingga dua minggu untuk sembuh dan biasanya pesakit tidak demam. Ini juga adalah perbezaan paling ketara yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa,” kata beliau.

    Risiko OME
    Dr Juani juga mengingatkan seseorang anak kecil yang dibiarkan menghidap resdung kronik tanpa dirawat akan berisiko tinggi untuk mendapat otitis media berefusi (OME) iaitu takungan cecair di dalam rongga telinga – yang boleh mencetuskan ketidakselesaan serta menjejaskan kualiti hidup si kecil.

    “Tiub eustachio menyalurkan cecair keluar dari telinga ke bahagian belakang tekak. Jika tiub itu tersumbat, ia boleh menyebabkan OME, iaitu takungan cecair di belakang gegendang telinga yang boleh mengganggu transmisi bunyi dari telinga luar ke telinga dalam, menyebabkan kehilangan pendengaran konduktif.

    “Kanak-kanak yang mengalami OME juga boleh berdepan masalah keseimbangan dan pertuturan selain sukar memberi tumpuan terutamanya ketika belajar. Jika gejala ini semakin teruk, pesakit akan mengalami masalah sukar tidur disebabkan sakit telinga yang berulang,” jelas beliau dan menambah keadaan itu juga boleh menyebabkan gegendang telinga pecah jika tidak dirawat dengan sewajarnya dan terkena jangkitan bakteria.

    Memetik kajian yang dilaksanakan oleh Jabatan Otorinolaringologi – Pembedahan Kepala dan Leher Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM yang diterbitkan pada 2020, Dr Juani berkata kebarangkalian resdung berserta OME berlaku di Malaysia adalah sekitar 80.3 peratus.

    Mengimbas semula kes kritikal yang pernah beliau kendalikan, katanya kes itu melibatkan seorang kanak-kanak yang nyaris-nyaris kehilangan pendengaran disebabkan OME kronik.

    “Saya rawat kanak-kanak yang berusia sembilan tahun ini pada 2020, apabila dia dikejarkan ke unit kecemasan akibat sawan tidak terkawal dan altered consciousness (keadaan separa sedar). Ketika pemeriksaan, kami mendapati bahawa jangkitan telinga dengan komplikasinya agak serius. Kami menggunakan antibiotik yang kuat untuk merawatnya selama dua minggu. Ubat yang digunakan ini merentasi rintangan darah ke otak, sekali gus membolehkan telinga dan otak dirawat serentak,” jelas beliau lagi.

    Tambahnya, jika kanak-kanak itu tidak dirawat segera, dia mungkin tidak boleh menjalani kehidupan yang normal.

    “Malah, dia juga boleh meninggal dunia jika jangkitan telinganya semakin teruk dan menyebabkan jangkitan tulang temporal atau abses otak. Resdung merupakan keadaan perubatan yang harus didiagnosis serta dirawat secepat mungkin,” ujarnya.

    Rawatan yang ada
    Resdung boleh didiagnosis menerusi sejarah klinikal dan gejala. Selain itu, kini terdapat ujian makmal diagnostik untuk alahan yang mengukur tahap imunoglobulin E (IgE), iaitu sejenis antibodi. Jika seseorang itu mempunyai alahan, paras lgE dalam darah mereka adalah lebih tinggi berbanding paras normal.

    “Satu daripada perkara yang kita perlu tahu tentang resdung adalah jenis alergen yang menjadi alahan kepada pesakit. Di SMCV, kami akan mengambil darah dan uji di makmal bagi mengesan 51 alergen utama. Ia merangkumi, antaranya alergen makanan, hama habuk dan bulu haiwan.

    “Daripada keputusan ujian darah yang boleh diperoleh dalam tempoh dua jam itu, kami akan lihat paras lgE yang dikeluarkan oleh tubuh pesakit akibat tindak balas alergi,” katanya.

    Rawatan lain bagi resdung termasuk semburan kortikosteroid intranasal yang berfungsi sebagai terapi awal yang selamat dan berkesan bagi resdung, kata beliau.

    Jelasnya, steroid dalam semburan nasal bertindak secara topikal pada lapisan mukosa yang mengalami radang selain berperanan sebagai agen antiradang dan mengurangkan bengkak pada mukosa dengan risiko kesan sampingan steroid secara sistemik yang sangat rendah.

    Pemilihan tablet atau ubat cecair antihistamina yang tepat juga boleh merawat resdung dengan mengurangkan keradangan yang disebabkan tindak balas alahan di dalam hidung.

    Dr Juani turut menasihati orang ramai, khususnya mereka yang menghidap penyakit itu, agar mengubah gaya hidup seperti kerap membasuh tangan dan mengelak menyentuh muka atau menggosok mata dan hidung.

    “Kenal pasti perkara yang mencetuskan gejala dan elak daripada benda-benda itu. Pastikan persekitaran tempat kerja dan rumah dalam keadaan bersih dan tidak berhabuk. Jika awda ada gejala resdung dan ia menjejaskan aktiviti harian, sila berjumpa doktor dan mulakan rawatan bagi mengawal gejala,” nasihatnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...