Monday, January 20, 2025
27.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribut badai New Zealand, empat maut

    WELLINGTON, 21 MAC – Ribut ganas melanda Pulau Utara New Zealand hari ini, meragut empat nyawa apabila sebuah kapal nelayan karam dan menyebabkan huru-hara di bandar terbesar di negara itu, Auckland, kata pegawai.

    Empat mayat ditemui dan seorang lagi hilang selepas bot nelayan yang disewa karam di luar pantai terpencil Northland lewat kelmarin, kata polis, dengan lima mangsa yang terselamat stabil selepas dibawa keluar dari laut yang bergelora.

    Tentera menghantar dua pesawat tentera udara dan sebuah kapal perang tentera laut untuk membantu usaha mencari.

    Ribut itu bergerak ke selatan dan melanda Auckland pagi tadi, dengan hujan 76.8 milimeter dalam masa satu jam di bandar itu, jumlah sama purata biasanya dalam sebulan pada tahun ini, kata peramal cuaca rasmi Metservice.

    Lebuh raya ditutup disebabkan banjir, sekolah ditutup selepas bilik darjah dibanjiri manakala perkhidmatan feri ditangguhkan selepas bah besar.

    Metservice berkata, kluster enam ribut petir sedang menuju ke selatan sebelum beralih arah dan bergerak ke laut.

    Ia membatalkan amaran cuaca buruk namun menasihatkan ‘hujan akan terus berlaku dalam minggu ini ketika sistem tekanan rendah mendekati dari arah barat’. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda