Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Sambutan malam tujuh likur hidupkan suasana Syawal

    MERSING – Kehadiran lebih 500 pelita buluh yang disusun dalam pelbagai bentuk seperti kubah, bulan dan bintang serta ketupat memeriahkan lagi sambutan malam tujuh likur, yang diadakan di Balai Agrotourism, Kampung Air Papan di sini pada Sabtu lepas bertujuan menghidupkan suasana menjelang Syawal.

    Sambutan yang pertama kali diadakan di daerah itu, merupakan anjuran Mersing Tourism Association (MTA) dengan kerjasama Tourism Johor, Majlis Daerah Mersing, Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Air Papan dan Pertubuhan Kebajikan Makmur Mersing. 

    Pelbagai aktiviti diadakan termasuk memasak bubur lambuk dan majlis khatam al-Quran, sebelum diteruskan dengan kemuncak sambutan pada sebelah malam apabila kesemua pelita buluh tersebut dinyalakan oleh kumpulan sukarelawan setempat, selain edaran bunga api secara percuma kepada pengunjung.

    Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Makmur cawangan Mersing Azhar Zainal Abidin berkata beliau berharap program tersebut akan diteruskan dan dijadikan acara tahunan berskala besar di daerah itu.

    “Pelbagai lagi aktiviti bersesuaian seperti pertandingan antara kediaman boleh diadakan dalam menghidupkan semula suasana Aidilfitri dan pada masa sama memberi pendedahan kepada generasi masa kini mengenai malam tujuh likur,” katanya.  

    Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk turut memeriahkan sambutan dan menyaksikan limpahan cahaya pelita. 

    Seorang pengunjung Nurul Aini Ismail, 29, dari Kampung Air Merah di sini berkata beliau mengetahui mengenai program sehari itu melalui laman sosial Facebook dan teruja menyaksikan keindahan cahaya pelita yang dinyalakan dalam pelbagai bentuk. 

    “Suami ajak datang ke sini bagi memberi peluang kepada anak merasai suasana menjelang hari raya, lebih-lebih lagi selepas dua tahun tidak dapat beraya akibat pandemik COVID-19. Kami memang menantikan suasana meriah seperti ini dengan limpahan cahaya pelita,” kata ibu kepada seorang cahaya mata itu. 

    Suri rumah Norashikin Johari, 28, pula berkata program tersebut patut diteruskan bagi memberi peluang kepada anak-anak merasai kemeriahan sambutan malam tujuh likur yang diraikan masyarakat dahulu.

    “Apa yang pasti, anak saya yang baru berusia tiga tahun nampak seronok dapat tengok cahaya pelita dan bermain bunga api,” katanya yang mengetahui mengenai program itu menerusi WhatsApp. – Bernama

    Semasa tinjauan wartawan mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang untuk turut memeriahkan sambutan dan menyaksikan limpahan cahaya pelita. Selain itu kanak-kanak juga nampak seronok dapat tengok cahaya pelita dan bermain bunga api. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...