Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Selamat melangkah ke alam persekolahan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Kegembiraan dan tangisan murid-murid pra adalah sesuatu yang lumrah dihadapi oleh para guru dan ibu bapa pada setiap musim awal tahun persekolahan.

    Sekolah Rendah Rambai, Kluster 5, Daerah Tutong tidak terkecuali mengalami suasana ini apabila lima orang murid Pra memulakan sesi pembelajaran mereka, baru-baru ini.

    Guru besar sekolah berkenaan, Hajah Hasnita binti Haji Musa menjelaskan bahawa sebelum ini, pihak sekolah bersama guru pra telah mengadakan satu Program Orientasi Prasekolah untuk Kanak-Kanak Baharu Prasekolah Tahun 2023 sekitar November lalu.

    Jelasnya, adapun program berkenaan merupakan salah satu inisiatif yang diterapkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Unit Pendidikan Awal Kanak-kanak (UPAKK) bagi membantu kanak-kanak untuk menyesuaikan diri dengan suasana permulaan persekolahan.

    Menerusi program berkenaan yang dilaksanakan di setiap persekolahan rendah kerajaan di seluruh negara itu sememangnya sejajar dengan tujuan yang diharapkan oleh Kementerian Pendidikan khususnya UPAKK bagi mengurangkan kadar kanak-kanak merasa takut, gelisah mahu pun menangis pada hari pertama sekolah dimulakan.

    Aktiviti perbarisan untuk murid-murid turut diketengahkan bagi menyemai nilai-nilai disiplin mereka sebelum berakhirnya sesi persekolahan mereka.
    Kegembiraan dan tangisan murid-murid pra adalah gambaran lumrah yang dihadapi oleh para guru dan ibu bapa pada setiap musim awal tahun persekolahan.

    Suasana hari pertama murid pra di Sekolah Rendah Rambai dengan membuat aktiviti menampal kertas warna pada permukaan lukisan buah epal.

    Murid-murid juga dididik agar sentiasa beradab sebelum menikmati bekal makanan mereka iaitu membersihkan tangan sebelum makan dan membaca Doa Makan.

    Program orientasi berkenaan juga sekali gus bagi memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak bagaimana suasana dan pengalaman mengikuti persekolahan di samping menyemai kemahiran sosialisasi bersama rakan sebaya dan guru-guru yang baharu dikenali melalui pengajaran dan pembelajaran yang tidak formal dan diserikan lagi dengan persekitaran kelas yang lebih tenang.

    Manakala, ibu bapa atau penjaga juga dibenarkan turut serta dalam kelas sepanjang orientasi dijalan kan sebelumnya. Pelbagai aktiviti telah dirancang bagi kanak-kana sepanjang ia dijalankan seperti nyanyian dan lakonan, melakukan aktiviti fizikal serta aktiviti yang berunsurkan kreativiti.

    “Apa yang dilihat pada hari pertama kemasukan murid-murid pra ini begitu tenang dan sudah mula membiasakan diri mereka sehingga apabila mereka diberikan tugasan masing-masing.

    Namun di situlah semangat setia kawan mereka juga jelas terlihat di samping mengikut tunjuk ajar guru.

    “Saya turut berterima kasih kepada para ibu bapa atau penjaga dan guru di atas segala usaha dan kerjasama mereka.

    “Golongan ibu bapa telah bertungkus-lumus menyediakan keperluan anak-anak mereka sesuai seperti yang diketengahkan semasa taklimat sebelumnya.

    “Tidak dinafikan juga, para guru pra juga berusaha gigih menyediakan kelas yang lebih kondusif demi memenuhi persekitaran yang selesa dan menarik,” luahnya syukur.

    Antara aktiviti yang dilakukan pada hari pertama adalah perbarisan, cara menyusun kerusi dalam bilik kelas, menampal kertas warna pada permukaan lukisan buah epal, cara membersihkan tangan sebelum makan dan membaca Doa Makan, dan sebagainya.

    Sementara itu, ibu bapa kepada salah seorang murid pra berkenaan turut mengongsikan antara persiapan yang diterapkan kepada anak mereka ialah untuk mendisiplinkan tidur lebih awal dan memastikan anak mereka mempunyai rehat yang cukup.

    Selain itu, mereka juga sentiasa menggalakkan anak untuk jangan malu bertanya dan menyapa rakan-rakan serta guru di kelas di samping sering mengingatkan untuk menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan selepas membuang sampah dan juga makan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...