Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Selawat Tafrijiyyah melapangkan kesempitan

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Buat julung-julung kalinya, Majlis Selawat Senegara Selawat Tafrijiyyah telah diadakan hari ini yang bergema di seluruh masjid utama di keempat-empat daerah.

    Berkenan berangkat menyerikan majlis penuh keberkatan anjuran bersama Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Mufti Kerajaan itu ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.

    Turut berangkat ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. 

    Menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja ialah Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Selawat Senegara Selawat Tafrijiyyah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; dan ahli Majlis Mesyuarat Diraja, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Seri Paduka Haji Awang Abdul Wahab bin Haji Mohd Said.

    Turut menjunjung keberangkatan ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat ke Majlis Selawat Senegara Selawat Tafrijiyyah di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Baginda Sultan, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menunaikan sembahyang Fardu Zuhur yang diimamkan oleh ketua Hakim Syarie.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat ke Majlis Selawat Senegara Selawat Tafrijiyyah di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti semasa menyampaikan sembah alu-aluan pada majlis berkenaan.
    Antara menteri kabinet yang turut menghadiri majlis berkenaan.
    ATAS & BAWAH: Antara peserta yang mengikuti Majlis Selawat Senegara, Selawat Tafrijiyyah pada majlis yang diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

    Majlis dimulakan dengan solat Fardu Zuhur berjemaah dan Sunat Hajat, yang diimamkan oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

    Ia diteruskan dengan sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti. Beliau menjelaskan, majlis itu adalah salah satu usaha berterusan dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti ke-agamaan ke arah mengamalkan vaksin ketuhanan bagi meraih keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT dalam menghadapi apa jua bencana dan musibah termasuk situasi pandemik COVID.

    Sepertimana hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titah perutusan Baginda Sultan semasa Majlis Ilmu 2020 pada Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-74 dan titah sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidiladha 2021, Majlis Selawat Senegara dan Selawat Tafrijiyyah ini tidak diragukan lagi adalah merupakan satu majlis yang mengundang keberkatan dengan selawat yang dibaca dalamnya, berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW itu sendiri adalah merupakan salah satu ibadah yang paling mulia, dengan amalan yang mendatangkan diri kepada Allah SWT yang paling agung dan yang paling cepat untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT.

    “Amalan berselawat dan memberi salam ke atas Nabi Muhammad SAW adalah merupakan satu ibadah yang disyariatkan dan diperintahkan oleh Allah SWT kepada orang-orang beriman yang mana adalah juga merupakan satu-satunya perlakuan ibadah yang turut dilakukan oleh Allah SWT bersama para malaikatNya. Perkara ini dengan sendirinya jelas menunjukkan kelebihan, keutamaan dan kemuliaan yang diberikan khusus oleh Allah SWT kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang mana tidak diberikan kepada mana-mana nabi yang lain. 

    “Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab Ayat ke-56, “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat untuk memberi segala penghormatan kebaikan kepada Nabi Muhammad, wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

    “Alhamdulillah, bagi kita di Negara Brunei Darussalam, amalan berselawat ini bukan suatu perkara asing, majlis berselawat dan berzikir sentiasa diadakan secara berterusan sepanjang masa dalam acara-acara keraian oleh masyarakat Brunei dan jua acara-acara besar-besaran seluruh negara khususnya bila menjelang bulan Rabiulawal, bulan kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Walau bagaimanapun, katanya, format dan cara pelaksanaan Majlis Selawat Senegara dan Selawat Tafrijiyyah yang diadakan hari ini adalah sedikit berbeza daripada acara-acara keraian dan majlis berselawat dan berzikir yang lazimnya diadakan setiap tahun. 

    Jelasnya, tujuan selawat senegara hari ini adalah semata-mata khusus untuk membaca Selawat Tafrijiyyah yang belum pernah diadakan secara seumpama sebelum ini.

    Menurutnya lagi, Selawat Tafrijiyyah dipilih khusus bagi majlis selawat senegara berdasarkan pada kelebihan yang terdapat dalam Selawat Tafrijiyyah itu sendiri.

    “At Tafrijiyyah bermaksud membuka untuk menyelesaikan segala masalah. 

    “Sesuai dengan Selawat Tafrijiyyah yang memberi pengertian menyelesaikan masalah atau melapangkan daripada kesempitan dan kesusahan, maka kita penuh yakin dalam membaca dan mengamalkan Selawat Tafrijiyyah di negara ini agar sentiasa mendapat rahmat Allah SWT berupa keamanan, kese-jahteraan dan keselamatan dari segala bencana, musibah dan malapetaka termasuk pandemik wabak COVID yang melanda dunia ketika ini,” katanya. 

    Selesai sahaja sembah alu-aluan Yang Berhormat Dato, bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai sebanyak 11 kali terdiri daripada para pegawai dan Imam Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, pegawai-pegawai Jabatan Pengajian Islam, mahasiswa-mahasiswa Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, pelajar-pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), jawatankuasa takmir masjid, belia masjid, persatuan-persatuan mualaf dan Belia Da’ie. 

    Manakala bacaan Doa Khas dibacakan oleh Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...