MANILA, 9 NOV – Pegawai Filipina hari ini berkata serpihan yang disyaki daripada pelancaran roket China baru-baru ini telah ditemui di lautan dua wilayah.
Penduduk di dua buah wilayah itu mendesak Manila untuk meratifikasi dua perjanjian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang membolehkan orang ramai untuk mendapatkan pampasan bagi kerosakan atau kecederaan daripada pelancaran pesawat angkasa lepas.
Agensi Angkasa Filipina berkata serpihan logam ditemui berasingan pada minggu ini di kepulauan Busuanga di barat Palawan dan di bandar Calintaan di wilayah Occidental Mindoro yang besar kemungkinan daripada pelancaran roket Long March 5B milik China minggu lalu di Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang di pulau Hainan.
Roket membawa sebuah modul berserta bahan-bahan makmal bagi stesen penyelidikan angkasa yang dibina oleh China.
Bahagian roket ditemui berhampiran air laut di mana Agensi Angkasa Filipina sebelum ini memberi amaran kepada orang ramai bahawa serpihan roket berkemungkinan akan jatuh. Agensi itu juga berkata pakar telah menilai gambar-gambar daripada serpihan, termasuk satu serpihan yang kelihatan seperti sebahagian daripada bendera China.
Penggalak roket dijangka terhempas di pesisir laut kira-kira 72 kilometer dari Scarborough Shaol, tetapi tiada laporan mengenai penemuan sebarang serpihan di kawasan itu, menurut agensi angkasa. Orang ramai dinasihatkan untuk segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya terjumpa serpihan roket dan memberi amaran untuk tidak mengambil atau mendekatinya.
Serpihan daripada pelancaran roket China telah terhempas di perairan negara itu sebelum ini. – AP
