Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Status covid bukan lagi kecemasan global

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Bermula esok (9 Mei), Kementerian Kesihatan tidak akan mengongsikan maklumat-maklumat berkaitan COVID dengan orang ramai.

    Ini kerana situasi jangkitan COVID tidak lagi dianggap sebagai satu kecemasan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

    WHO pada 5 Mei lalu telah mengumumkan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Darurat Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) yang berlangsung pada 4 Mei bahawa jangkitan COVID tidak lagi dikategorikan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC).

    Ini bermakna WHO tidak lagi menganggap situasi jangkitan sebagai satu kecemasan global. Keputusan menamatkan kecemasan global COVID diambil selepas pihak IHR bersidang dan meneliti trend penurunan kematian kes-kes COVID dan kemasukan kes-kes COVID ke hospital serta tahap imuniti penduduk yang tinggi terhadap virus SARS-CoV-2.

    Menurut kenyataan itu lagi, walaupun virus terus berevolusi dan melahirkan varian-varian baharu, namun varian-varian yang ada sekarang tidak dikaitkan dengan keadaan kes-kes yang teruk.

    Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus semasa menghadiri sidang media di Ibu Pejabat WHO. Kementerian Kesihatan tidak akan mengongsikan lagi maklumat-maklumat berkaitan COVID kerana situasi jangkitan COVID tidak lagi dianggap sebagai satu kecemasan global oleh WHO.- Xinhua

    Sehubungan itu, WHO menyarankan pengurusan jangkitan COVID diintegrasikan ke dalam pengawalan dan pengurusan jangka masa panjang penyakit-penyakit berjangkit iaitu sebagai satu isu kesihatan yang rutin.

    Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan tidak lagi akan mengongsikan maklumat-maklumat berkaitan dengan COVID kepada orang ramai bermula esok.

    Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi jangkitan COVID sebagai sebahagian daripada pemantauan berterusan penyakit-penyakit berjangkit di negara ini dan akan memaklumkan sebarang perkembangan mengenai mana-mana penyakit berjangkit kepada orang ramai mengikut keperluan semasa.

    Sementara itu, orang ramai adalah dinasihatkan untuk terus mengamalkan kebersihan diri dan etika bersin yang betul.

    Mereka yang berumur 18 tahun ke atas, khususnya penghidap penyakit kronik dan warga emas juga digalakkan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin dari jenis bivalent vaccine. Dos penggalak boleh diperolehi enam bulan dari dos terakhir atau jangkitan COVID, tertakluk kepada yang mana lebih kemudian.

     

     

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...