Saturday, April 27, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Sumbangan terus ceriakan anak yatim

    Oleh Salawati Haji Yahya, Sim Y. H. & Nurdiyanah R –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Bulan Ramadan yang telah memasuki hari ke-15 terus disemarakkan dengan aktiviti-aktiviti amal terutamanya menghulurkan sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik dalam meraih ganjaran yang berlipat ganda.

    Badan-badan korporat adalah antara yang aktif menceriakan golongan berkenaan terutamanya anak-anak yatim dalam bulan yang suci ini lebih-lebih lagi dengan kedatangan bulan Syawal.

    Pada hari ini, Penerbangan Diraja Brunei (RB) dengan kerjasama Sabre Tarvel Network Brunei telah mengadakan Majlis Penyampaian Derma Kepada Anak-anak Yatim, Bacaan Tahlil dan Sungkai yang meraikan seramai 32 orang anak yatim.

    Majlis anjuran Jawatankuasa Kebajikan RB yang berlangsung di Serambi Batil, Tarindak D’Seni, di sini itu, dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Sabirin bin Haji Abdul Hamid selaku tetamu kehormat. Turut hadir ialah pengurusan dan kakitangan dari RB dan Sabre Travel Network Brunei.

    Dalam pada itu, Koperasi BKSS tidak ketinggalan untuk mengadakan Majlis Bertahlil, Membaca Doa Arwah serta Penyampaian Derma untuk Anak-anak Yatim bagi Warga Ahli-ahli Koperasi BKSS yang berlangsung di Bilik Eksekutif Koperasi BKSS, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

    Kapten Sabirin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Haji Mohd Salleh semasa menyampaikan sumbangan pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Awang Muhammad Zulkarnain semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim bagi Projek Jalinan Kasih ke-16. – GAMBAR SERAHAN RTB
    Antara kakitangan Perbadanan TAIB dan anak syarikatnya bergambar ramai bersama 50 orang anak yatim pada majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PERBADANAN TAIB
    Pengiran Aki Ismasufian bersama anak-anak yatim yang diraikan. – GAMBAR SERAHAN BBBF
    Pengiran Dato Paduka Haji Abd Rahman bergambar ramai bersama anak-anak yatim yang diraikan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN SEKOLAH KESUMA MEKAR

    Hadir untuk sama-sama menyertai dan menyempurnakan penyampaian derma kepada sembilan orang anak yatim ialah Pengerusi Koperasi BKSS, Haji Mohd Salleh bin Haji Mohiddin.

    Manakala itu, kelmarin, Britain Brunei Business Forum (BBBF) juga telah menganjurkan majlis iftar untuk 19 anak yatim yang berdaftar di bawah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Hotel Radisson.

    Majlis yang merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat BBBF itu telah dihadiri pengerusi dan ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif BBBF serta penjaga anak-anak yatim.

    Pada acara itu, setiap kanak-kanak menerima alat tulis, peralatan sekolah dan duit raya daripada penaja majlis iaitu Kolej Perniagaan Laksamana, International Business-Mate Sdn Bhd dan PFH Fire Protection Company Sdn Bhd.

    Sementara itu, seramai 20 orang anak yatim telah dijemput menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim bagi Projek Jalinan Kasih ke-16 yang berlangsung di McDonald’s Lambak.

    Projek Jalinan Kasih merupakan projek tahunan Radio Televisyen Brunei (RTB) melalui Bahagian Rancangan Radio yang dihasratkan untuk mempromosi dan mendukung usaha kerajaan dalam mewujudkan budaya kehidupan bermasyarakat yang penyayang dan prihatin kepada golongan yang lebih memerlukan.

    Acara dihadiri oleh Pemangku Timbalan Pengarah RTB, Awang Muhammad Zulkarnain bin Haji Ibrahim; Pengerusi Projek Jalinan Kasih, Awang Muhd Muizzuddin Asyur bin Awang Mat Japoar; Setiausaha Bersama, Dayang Nurul ‘Izzati binti Haji Nordin serta pegawai-pegawai kanan RTB.

    Di Airport Mall, Berakas, baru-baru ini, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam Holdings Sdn Bhd dan Darussalam Holdings Sdn Bhd, telah menganjurkan acara membeli-belah bersama 50 orang anak yatim yang kebanyakannya berusia dua hingga 14 tahun.

    Anak-anak yatim berkenaan adalah dari Mukim Gadong B termasuk Kampung Menglait, Kampung Pangkalan Gadong, Kampung Beribi, Perumahan RUB Gadong, Kampung Mata-Mata, Katok B dan Kampung Kiulap yang berdaftar di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM).

    Setiap kanak-kanak menerima sumbangan kewangan untuk membantu mereka membeli barangan keperluan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

    Sebagai sebahagian daripada acara dan kerjasama dengan Royal Brunei Culinary (RBC), kanak-kanak berkenaan juga diberikan kotak makanan untuk berbuka puasa.

    Rombongan sukarelawan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya terlibat untuk membantu anak-anak berkenaan semasa membeli-belah.

    Turut mengadakan Majlis Khatam Al-Quran, Bacaan Tahlil, Doa Arwah dan Penyampaian Derma kepada anak yatim, baru-baru ini, adalah Sekolah Kesuma Mekar yang berlangsung di Halaman Mekar sekolah berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Koperasi Kesuma Mekar (KKMB), Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail dan isteri.

    Pada majlis itu, tetamu kehormat memulakan memimpin bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada empat orang anak yatim sekolah berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...