Sunday, April 28, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Suu Kyi didakwa lakukan rasuah

    BANGKOK, 4 FEB – Polis Myanmar memfailkan dakwaan rasuah ke-11 terhadap Aung San Suu Kyi, pemimpin yang dipilih dan disingkirkan oleh tentera tahun lalu, menurut laporan media yang dikawal kerajaan, hari ini.

    Akhbar The Global New Light of Myanmar melaporkan bahawa Suu Kyi didakwa di bawah Undang-undang Antirasuah kerana melakukan rasuah, hukuman yang boleh membawa tempoh penjara maksimum 15 tahun.

    Suu Kyi berhadapan dakwaan keras sejak ditahan apabila pihak tentera merampas kuasa pada 1 Februari tahun lalu. Penyokongnya dan kumpulan hak asasi manusia berkata kes dakwaan terhadapnya adalah tidak berasas, dan menghalang beliau kembali ke arena politik serta menyertai sebarang pilihan raya yang dijanjikan oleh tentera pada 2023.

    Suu Kyi sudah dikenakan hukuman penjara selama enam tahun atas dakwaan mengimport dan memiliki walkie-talkie secara haram dan melanggar sekatan koronavirus.

    Beliau juga cuba didakwa melanggar Akta Rahsia-rahsia Rasmi, yang membawa hukuman penjara maksimum selama 14 tahun. Ahli ekonomi Australia, Sean Turnell, yang juga pembantunya, adalah defendan bersama.

    Perbicaraan mahkamah di ibu kota Naypyitaw dalam kes rahsia ditunda kelmarin kerana Suu Kyi mengalami tekanan darah rendah, mengakibatkan pening.

    Tetapi beliau kembali ke mahkamah hari ini apabila sesi pendengaran dimulakan atas lima dakwaan rasuah berkaitan memberikan kebenaran untuk menyewa dan membeli helikopter.

    Myanmar bergelut dengan tentangan ke atas tentera selepas pihak keselamatan menggunakan kekerasan untuk menghentikan bantahan. Kira-kira 1,500 awam terbunuh namun pihak kerajaan masih belum berjaya mengawal pemberontak yang aktif di kawasan bandar dan perkampungan. – AP

    Suu Kyi berdepan satu lagi dakwaan rasuah yang dibuat oleh polis Myanmar dan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...