Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Jabatan Daerah Tutong
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Sebuah syarikat di Kampung Sengkarai, Tutong telah dikeluarkan kompaun oleh Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong kerana didapati melanggar Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian 2021, iaitu membuang sampah di tempat awam, hari ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Tutong, di sini, syarikat berkenaan telah dikenakan denda kompaun sebanyak 500 dan dikehendaki untuk menjelaskan kompaun dalam tempoh tujuh hari.
Jika gagal membayar denda berkenaan, syarikat itu boleh dihadapkan ke mahkamah di mana jika sabit kesalahan boeh dikenakan hukuman denda tidak kurang $2,000 dan tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan pertama.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh
tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis perniagaan supaya sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah-sarap di tempat awam.
