Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Tanam semangat raih pingat di Sukma

    Oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Bahiyah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Penyertaan di SUKMA bukanlah sekadar sebagai pendedahan semata-mata, tetapi untuk berjuang dengan semangat kompetetif yang tinggi, dengan keinginan yang kuat untuk berjaya.

    “Apa yang paling penting, penyertaan bagi SUKMA di Malaysia adalah sebagai platform untuk menyertai temasya sukan di peringkat tinggi dan antarabangsa.”

    Perkara tersebut adalah antara yang ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN ke-20, Malaysia, hari ini di Dewan Digadong Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Para atlet juga harus percaya dan yakin bahawa mereka mampu melakukannya kerana mereka adalah atlet yang terpilih, jelas Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    “Oleh itu, kibarkanlah bendera Negara Brunei Darussalam dengan semangat dan kebanggaan semasa di Malaysia nanti.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Negara kepada Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN ke-20, Malaysia di Dewan Digadong Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyerahkan bendera Negara Brunei Darussalam kepada Dayang Umi Kalthum di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. – Gambar serahan Bahyiah Bakir

    “Tunjukkanlah biskita adalah yang terbaik dari segi kemahiran, etika dan profesionalisme,” katanya. 

    Atlet juga diseru sentiasa patuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, terutamanya dalam anti-doping dan jangan sama sekali melakukan perkara yang boleh menjejaskan imej negara.

    “Apa yang paling penting, nilai-nilai keBruneian dan tatasusila kita yang unik dan indah mestilah dihayati, dipraktikkan dan dibanggakan setiap masa,” nasihat Yang Berhormat Dato.

    Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato turut menyerahkan bendera Negara Brunei Darussalam kepada Chef De Mission kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022, Malaysia Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim.

    Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah; Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Setiausaha Tetap (Kebeliaan), KKBS, Haji Zakaria bin Haji Serudin; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah; ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Pemilihan dan Penilaian Atlet Kebangsaan; persatuan-persatuan sukan kebangsaan serta para ibu bapa dan penjaga.

    Kontinjen Negara Brunei Darussalam dianggotai seramai 39 orang terdiri daripada 25 orang atlet dan 14 orang pegawai termasuk chef de mission, ketua urus setia, pegawai urusetia, jurulatih dan kakitangan perubatan.

    Pada edisi SUKMA tahun ini, Negara Brunei Darussalam akan menyertai lima acara sukan iaitu akuatik (renang), karate, petanque, pencak silat dan wusyu.

    Penglibatan Brunei dalam temasya SUKMA ini adalah sebagai pasukan jemputan di mana pertama kali negara mengikutinya adalah pada tahun 1996 iaitu SUKMA ke-VI di Pahang, Malaysia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...