Saturday, April 27, 2024
36 C
Brunei

    -

    Tentera AS lancar serbuan di Syria, 13 maut

    ATMEH, SYRIA, 3 FEB – Pasukan Khas Amerika Syarikat (AS) melakukan apa yang dikatakan Pentagon sebagai serbuan tindak balas pengganasan berskala besar di barat laut Syria awal hari ini.

    Responden pertama di tempat kejadian melaporkan 13 orang telah terbunuh, termasuk enam kanak-kanak dan empat wanita.

    Operasi tersebut, yang menurut penduduk telah berlarutan selama lebih dua jam, mengejutkan perkampungan Atmeh berhampiran sempadan Turki, kawasan yang dipenuhi kem untuk pelarian dalaman dari perang saudara Syria.

    Sasaran serbuan masih tidak jelas “Misi itu berjaya,” kata setiausaha akhbar Pentagon, John Kirby dalam satu kenyataan ringkas. “Tiada kematian di pihak AS. Maklumat lanjut akan diberikan apabila ia tersedia.”

    Seorang wartawan yang bertugas untuk The Associated Press dan beberapa penduduk berkata mereka melihat cebisan mayat bertaburan berhampiran lokasi serbuan, sebuah rumah di wilayah Idlib yang dikuasai pemberontak Syria.

    Kebanyakan penduduk bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana bimbang akan tindakan balas dan berkata serbuan itu melibatkan bantuan helikopter, letupan serta tembakan mesingan.

    Ia merupakan serbuan terbesar di wilayah itu sejak serangan AS era Trump 2019 yang membunuh pemimpin Islamic State, Abu Bakr al-Baghdadi.

    Idlib dikawal secara meluas oleh pejuang yang disokong Turki, tetapi juga merupakan kubu pertahanan Al-Qaeda dan pusat kepada beberapa operasi tertingginya.

    Militan lain juga telah mendapat perlindungan di wilayah tersebut. – AP

    Orang ramai memeriksa rumah yang musnah berikutan operasi oleh tentera AS di perkampungan Atmeh, Syria, di wilayah Idlib, 3 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...