Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Tentera rampas kuasa di Burkina Faso

    OUAGADOUGOU, 25 JAN – Askar di Burkina Faso kelmarin mengumumkan di televisyen kerajaan bahawa mereka telah merampas kuasa di negara Afrika Barat berikutan pemberontakan berhubung kegagalan presiden awam membendung pemberontakan Islam.

    Seorang pegawai rendah mengumumkan penggantungan perlembagaan, pembubaran kerajaan dan parlimen serta penutupan sempadan negara mulai kelmarin, menurut kenyataan yang ditandatangani oleh Leftenan Kolonel Paul-Henri Sandaogo Damiba.

    Beliau berkata Pergerakan Patriotik untuk Pemeliharaan dan Pemulihan (MPSR) baharu akan mewujudkan semula ‘perintah berperlembagaan’ dalam ‘masa yang munasabah’, sambil menambah bahawa perintah berkurung setiap malam di seluruh negara akan dikuatkuasakan.

    Beratus-ratus orang berkumpul untuk meraikan rampasan kuasa tentera di Ouagadougou, mengalu-alukan tentera, membunyikan hon kereta serta mengibarkan bendera negara.

    Kelmarin, kuasa Afrika dan Barat mengecam apa yang mereka gelar sebagai ‘cubaan rampasan kuasa’ dan EU menuntut pembebasan ‘segera’ Presiden Roch Marc Christian Kabore.

    Penunjuk perasaan berkumpul di Ouagadougou untuk menunjukkan sokongan kepada tentera sambil memegang dan membuang bendera Rusia. – AFP

    Amerika Syarikat (AS) juga menggesa agar Kabore dibebaskan dan menggesa ‘anggota pasukan keselamatan menghormati perlembagaan Burkina Faso dan kepimpinan awam.’

    Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dalam satu kenyataan berkata beliau ‘mengutuk sekeras-kerasnya sebarang percubaan mengambil alih kerajaan dengan kekuatan senjata,’ menyifatkan peristiwa itu sebagai ‘rampasan kuasa’.

    Berikutan laporan yang bercanggahan mengenai keberadaan Kabore, ketua dasar luar EU, Josep Borrell berkata dalam satu kenyataan, “Kami kini tahu bahawa Presiden Kabore berada di bawah kawalan tentera.”
    Beliau menyebut keadaan itu sebagai ‘amat membimbangkan.’

    Sumber kerajaan berkata Kabore telah ‘diusir’ dari rumahnya Ahad lalu oleh pengawal presidennya ‘sebelum ketibaan elemen bersenjata yang melepaskan tembakan ke arah kenderaan konvoinya.’

    Wartawan AFP kelmarin melihat tiga buah kenderaan yang terkena peluru di luar kediaman Kabore, dengan kesan darah kelihatan pada salah sebuah kenderaan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...