Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Tommy Paul kejutkan Zverev di Indian Wells

    INDIAN WELLS, 14 MAC – Pemain nombor tiga dunia, Alexander Zverev tersingkir di saingan ATP Indian Wells Masters kelmarin, dikejutkan dalam perlawanan pembukaan menentang pemain ranking ke-39 dari Amerika Syarikat, Tommy Paul dengan keputusan 6-2, 4-6, 7-6 (7/2).

    Selepas ketinggalan dalam set pertama, Zverev dari Jerman menyamakan kedudukan pada set kedua di perlawanan ke-10. Selepas mempertahankan pukulan servis dan mematahkan pukulan Paul di perlawanan keenam, Zverev dilihat menuju kemenangan. Tetapi pemain Jerman itu segera melakukan empat double fault dan Paul mendominasi tiebreak dengan permainan agresif yang sama ditunjukkan pada set pembukaan.

    “Saya bermain di tahap tertinggi hari ini,” kata Paul, yang meraih kemenangan terbesar dalam kariernya. “Saya tahu bagaimana saya hendak bermain menentangnya, jadi saya keluar bermain dan ia berlaku seperti yang dirancang. Ia menjadi luar biasa di set kedua, dan saya bernasib baik pada penghujung perlawanan, tetapi saya bermain dengan baik apabila ia menuju ke penentuan, jadi saya gembira dengan persembahan saya.”

    Zverev bermain dalam kejohanan pertama sejak dia hilang kelayakan di Terbuka Mexico, Acapulco selepas melepaskan kemarahan dan berulang kali menghentam raketnya ke arah kerusi pengadil.

    Pemenang pingat empat Olimpik Tokyo berusia 24 tahun itu didenda AS$40,000 atas kekasaran lisan dan tingkah laku kasar semasa perlawanan. Dia akan dikenakan denda tambahan AS$25,000 dan penggantungan lapan minggu sekiranya dia gagal mematuhi peraturan keganasan selama 12 bulan.

    Dalam aksi berlainan pusingan kedua lelaki, pemain pilihan ketujuh, Andrey Rublev meneruskan deretan kemenangan ATP kepada 10 perlawanan, bangkit daripada permulaan perlahan untuk mengalahkan Dominik Koepfer, 7-5, 6-4. Sementara pemain pilihan keenam, Matteo Berrettini juga mara dengan kemenangan 6-3, 4-6, 6-4 ke atas pemain kelayakan dari Denmark, Holger Rune. – AFP

    Aksi Alexander Zverev membalas pukulan semasa menentang Tommy Paul di ATP Indian Wells Masters, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...