Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Urusan industri perdagangan, pelaburan akan dipermudahkan

    KUALA LUMPUR, 6 JUN – Kerajaan akan memastikan urusan pemain industri perdagangan dan pelaburan Malaysia dipermudahkan serta sistem penyampaian perkhidmatan awam dipertingkatkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata ia seiring dengan komitmen kerajaan bagi melonjakkan prestasi kedua-dua industri berkenaan termasuk memastikan pelaburan langsung domestik terus dirangsang.

    Ismail Sabri turut menjelaskan langkah itu akan mendorong keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan, sekali gus kemajuan ekonomi Malaysia untuk kekal teguh.

    “Jumlah perdagangan luar, berkembang sebanyak 23.6 peratus kepada RM624.9 bilion, manakala aliran masuk bersih dana asing kekal konsisten dengan jumlah RM7.4 bilion setakat ini,” katanya ketika merafak sembah ucapan tahniah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara kelmarin.

    Istiadat berkenaan berlangsung bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

    Ismail Sabri berkata usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi pasca pandemik COVID semakin berhasil dan berada pada momentum terbaik.

    “Terkini, ekonomi negara telah mencatat pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus pada 2021, berbanding penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun sebelumnya. Bagi tahun ini, kerajaan bertekad memacu ekonomi bagi mencapai pertumbuhan antara sebanyak 5.3 peratus sehingga 6.3 peratus sebagaimana yang diunjurkan,” katanya.

    Perdana Menteri turut berkata pembukaan sempadan juga merancakkan usaha pemulihan ekonomi khususnya sektor pelancongan dengan peningkatan kemasukan pelancong asing. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...