Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    UTM lahir graduan berorientasi penyelidikan berteknologi

    JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melancarkan inisiatif enVision Moonshot, berperanan sebagai pemangkin dalam usaha merealisasikan Pelan Strategik enVision UTM 2025 bagi menghasilkan graduan berorientasi masa depan dan penyelidikan berteraskan teknologi maju.

    Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata inisiatif menggunakan pendekatan radikal, pantas dan tangkas itu menggariskan empat fokus utama iaitu melahirkan graduan berkualiti, selain menerajui penyelesaian kepada permasalahan kompleks melalui pengetahuan dan penyelidikan.

    Selain itu, katanya ia juga memfokuskan untuk mencapai keunggulan global sebagai universiti penyelidikan terkemuka negara berasaskan teknologi, serta memanfaatkan teknologi tinggi dengan menggunakan pendekatan quadruple helix.

    “Status UTM sebagai universiti penyelidikan terkemuka negara berteraskan sains, teknologi dan kejuruteraan mesti terus di perkasa dalam mendepani pelbagai cabaran sistemik global, justeru UTM memperkenalkan enVision Moonshot bagi memenuhi aspirasi kebangsaan sebagaimana digariskan Kementerian Pendidikan Tinggi.

    “Menerusi wadah enVision Moonshot, UTM komited melahirkan graduan berkualiti menerusi Program Pemerkasaan 5 ETP (Excellence Track Programme), penawaran Program Akademik dan Semakan Kurikulum Berorientasi Masa Hadapan dan Pemerkasaan Student Union,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat bersama Naib Canselor di Dewan Sultan Iskandar, UTM di sini baru-baru ini.

    Majlis pelancaran inisiatif enVision Moonshot, Pelan Strategik enVision UTM 2025 di Universiti Teknologi Malaysia pada 2 Februari. – Gambar sumber UTM

    Majlis yang dihadiri kira-kira 1,500 warga kerja UTM itu turut disiarkan secara langsung di Kampus UTM Kuala Lumpur dan Kampus UTM Pagoh, Muar.

    Katanya, kesemua bidang kebitaraan akan diletakkan di bawah strategi Fantastic Four + (F4+) dalam memacu peradaban penyelidikan di UTM melalui pengetahuan baharu dan penyelidikan terfokus sekali gus menjadikan UTM sebagai hab dan peneraju penyelesaian kepada permasalahan kompleks sejagat.

    Beliau berkata bagi mencapai Keunggulan Global, UTM akan meneroka jalinan kerjasama strategik antaranya bersama Kesatuan Eropah dan universiti ternama luar negara yang sedang berkembang maju, selain menyasarkan penubuhan enam makmal satelit institusi atau industri sama ada inbound atau outbound.

    Sementara itu, beliau berkata persepsi dan birokrasi sering menjadi kekangan dalam menjayakan kolaborasi antara entiti universiti, agensi, industri dan komuniti, justeru kerjasama pintar merentas entiti harus dijalin dalam usaha mensejahterakan rakyat.

    Katanya, UTM akan terus mempergiat pendekatan quadruple helix dengan menjalin hubungan kerjasama antara staf dengan pihak berkepentingan luar, selain memanfaatkan inovasi teknologi termaju bagi menyelesaikan masalah sistemik dengan penubuhan satu konsortium di bawah agenda AIMS4STAR.

    “Mendepani cabaran 2023, kepimpinan praktikal dan transformatif merentas posisi warga universiti seharusnya menjadi teras dalam menjayakan inisiatif enVision Moonshot.

    Warga universiti diseru untuk lebih bersinergi demi memastikan kedudukan UTM di peta global terjamin dan tersohor seantero dunia,” tambahnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...