Sunday, April 28, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Varane mungkin boleh sertai Piala Dunia

    PARIS, 23 OKT – Kecederaan pemain pertahanan Manchester United, Raphael Varane dikatakan tidak terlalu serius dan mungkin dapat beraksi dalam Piala Dunia, kata satu sumber kepada AFP kelmarin.

    Varane, 29, meninggalkan padang dalam tangisan dengan kecederaan kaki yang dialami semasa perlawanan antara United dan Chelsea yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 pada Sabtu.

    Terdapat kebimbangan kecederaan yang dialaminya itu mungkin akan melenyapkan peluangnya beraksi dalam Piala Dunia, yang akan bermula pada 20 November di Qatar. Namun, sumber mengatakan hasil imbasan pada Ahad adalah ‘agak positif’.

    Hasil imbasan menunjukkan tisu paha Varane koyak sedikit tetapi ia adalah kurang serius daripada yang dibimbangkan dan dia masih boleh berharap untuk bermain di Qatar.

    Varane, yang pernah mengalami beberapa kecederaan jangka masa panjang semasa kariernya, dijangka dapat pulih semula dalam masa tiga atau empat minggu, menurut satu laporan di Perancis.

    Jurulatih Perancis, Didier Deschamps, akan menamakan barisan pemainnya pada 9 November.

    Pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante, yang merupakan pemain penting yang membawa kepada kejayaan Perancis empat tahun lalu, akan terlepas peluang untuk beraksi dalam Piala Dunia kerana kecederaan paha.

    Manakala, Paul Pogba masih lagi dalam proses pemulihan daripada pembedahan lutut dan penjaga gol AC Milan, Mike Maignan yang merupakan pemain ganti kepada Hugo Lloris, juga direhatkan kerana kecederaan betis.

    Dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala Dunia, Perancis bakal bertemu Australia pada 22 November, sebelum berlawan de-ngan Denmark pada 26 November, dan diikuti Tunisia empat hari kemudian. – AFP

    Reaksi pemain Manchester United, Raphael Varane (kiri), yang terpaksa meninggalkan padang selepas kecederaan yang dialaminya semasa perlawanan antara Manchester United dan Chelsea di stadium Stamford Bridge. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...