Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Wang tunai hampir $10,000, rokok berjaya dirampas

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JKED

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui Bahagian Penguat kuasa Undang-undang telah berjaya merampas wang tunai hampir $10,000, lebih 350 karton rokok, 439 botol minuman keras dan pelbagai barangan tegahan kastam serta menahan individu yang terlibat dalam penyeludupan dalam gerakan operasi yang dijalankan di empat lokasi berasingan pada 24 dan 25 Disember lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKED, di sini, hari ini, hasil gerakan operasi pertama yang telah dijalankan pada 24 Disember 2021 di kawasan pondok elektrik, Kampung Katimahar, JKED telah menjumpai barang-barang tegahan kastam iaitu 49 karton rokok yang disimpan di dalam sebuah kenderaan yang ditinggalkan.

    Antara hasil barangan tegahan yang berjaya dirampas oleh pihak berkuasa semasa menjalankan gerakan operasi yang diadakan pada 24 dan 25 Disember lalu.

    Kenyataan menyatakan pada 25 Disember 2021, hasil gerakan operasi kedua yang telah dijalankan di sebuah rumah pekerja asing, JKED telah berjaya menahan dua orang lelaki warganegara Indonesia dan Malaysia berumur 38 dan 45 tahun yang dipercayai memiliki dan terlibat dengan aktiviti penjualan barang-barang tegahan kastam iaitu 11 karton, satu paket
    dan 13 batang rokok pelbagai jenis dan 29 botol minuman keras pelbagai jenis.

    Pada hari yang sama, hasil gerakan operasi yang ketiga yang telah dijalankan di kawasan Jalan Pasir Berakas, Mukim Berakas, JKED telah berjaya menahan dua orang lelaki warganegara Indonesia berumur 31 dan 36 tahun yang dipercayai memiliki barang-barang tegahan kastam iaitu 208 karton dan 37 paket rokok pelbagai jenis serta wang tunai berjumlah $4,400 yang disyaki hasil daripada jualan barangan tegahan kastam.

    Antara hasil barangan tegahan yang berjaya dirampas oleh pihak berkuasa semasa menjalankan gerakan operasi yang diadakan pada 24 dan 25 Disember lalu.

    Manakala itu, hasil gerakan operasi yang keempat pula telah dijalankan di Mukim Sengkurong, JKED telah berjaya menahan seorang lelaki warganegara Malaysia yang berumur 41 tahun yang dipercayai memiliki barang-barang tegahan kastam iaitu 154 karton rokok pelbagai jenis, 439 botol minuman keras pelbagai jenis serta wang tunai $5,340 yang disyaki hasil daripada jualan barangan tegahan kastam.

    JKED dalam kenyataan itu lagi menyatakan bahawa kesemua barangan tegahan terbabit telah dirampas dan kesemua individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Penguat kuasa Undang-undang untuk siasatan lanjut.

    JKED ingin menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara yang berkuat kuasa pada masa ini dan menghindari daripada melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan dan jua larangan tanpa sebarang kebenaran daripada agensi-agensi berkepentingan yang mengawal barang-barang tersebut. Memiliki barang-barang tegahan kastam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006.

    JKED dalam kenyataannya lagi, turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED.

    Jabatan berkenaan mengalu-alukan orang ramai untuk mengongsikan maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan kastam atau apa jua aktiviti yang menyalahi perundangan Kastam dengan menghubungi JKED di talian utama JKED 8714422/8721422 atau pejabat kastam yang berdekatan dengan pihak JKED memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...