Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Waspada musim hujan, banjir

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MEI – Orang ramai terutama yang tinggal di kawasan yang terjejas dan dilanda banjir, diingatkan untuk mengambil langkah-langkah berwaspada bagi mencegah dan menghindarkan sebarang kemalangan, kecederaan dan kemungkinan penyakit-penyakit berjangkit bawaan makanan dan air seperti kolera, cirit-birit, keracunan makanan dan penyakit bawaan vektor seperti demam denggi dan sebagainya.

    Peringatan itu dibuat oleh Kementerian Kesihatan berikutan kejadian hujan lebat dan risiko banjir pada masa ini, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

    Kementerian Kesihatan menyatakan antara langkah-langkah yang perlu diambil ketika musim hujan dan jika berlakunya banjir termasuk memastikan bekalan air adalah bersih dan tidak tercemar, memastikan air minum dimasak terlebih dahulu atau meminum air botol, memasak semua makanan dengan sempurna serta mengutamakan kebersihan diri khususnya membasuh tangan dengan air bersih dan sabun selepas menggunakan tandas.

    Mereka juga diingatkan untuk menjaga kebersihan persekitaran tempat tinggal dan kawasan yang berdekatan dan tidak membuang sampah merata-rata, serta memastikan saliran air tidak tersumbat oleh sampah sarap, lumpur dan dahan pokok.

    Mereka turut diingatkan untuk mendapatkan rawatan jika mengalami penyakit seperti demam panas, sakit perut, cirit-birit, muntah dan lain-lain, mengutamakan keselamatan khususnya kanak-kanak agar tidak terdedah kepada air banjir bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti lemas, kecederaan serta jangkitan penyakit dan mengelakkan daripada menyentuh dawai elektrik yang jatuh berdekatan air banjir.

    Manakala itu, bagi mereka yang mempunyai luka-luka dan penyakit kulit ataupun yang mempunyai masalah kesihatan kronik, terutama kencing manis seboleh-bolehnya untuk mengelakkan daripada terkena air banjir kerana air banjir yang kotor boleh menyebabkan jangkitan.

    Walau bagaimanapun, jika mengalami kecederaan kecil yang terdedah kepada air banjir, dinasihatkan supaya memastikan luka-luka tersebut dibersihkan dan mendapatkan rawatan di pusat-pusat kesihatan yang berdekatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...