NEW DELHI, 14 SEPT – Seramai 11 orang maut manakala 29 lagi cedera selepas bas mini terjatuh gaung di wilayah Kashmir yang dikawal oleh India, menurut pegawai tempatan hari ini.
Lebih 36 orang penumpang menaiki bas tersebut apabila kemalangan berlaku berhampiran Sawijan, sebuah kampung di Jammu, daerah Poonch, pihak berkuasa memberitahu Press Trust of India.
Usaha menyelamat sedang dijalankan oleh anggota tentera, polis dan penduduk tempatan, menurut pihak berkuasa.
Leftenan gabenor, Manoj Sinha mengumumkan melalui Twitter bahawa pampasan kira-kira AS$6,300 akan diberikan kepada keluarga mangsa.
Presiden India, Droupadi Murmu turut meluahkan rasa simpati melalui Twitternya. “Saya menzahirkan rasa simpati ke atas keluarga mangsa dan berharap mangsa yang cedera akan segera sembuh,” katanya.
Bulan lalu, sebuah bas membawa separa tentera di wilayah Kashmir terbabas dari jalan pergunungan dan jatuh ke sungai mengorbankan enam orang dan mencederakan belasan yang lain.
Ratusan ribu orang terbunuh atau cedera setiap tahun dalam kemalangan jalan raya di India. Kebanyakan kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu, jalan raya yang tidak diselenggarakan dan kenderaan yang sudah usang. – AP
