Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    31 graduan cemerlang terima anugerah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Sejak tiga tahun kebelakangan ini, kadar pelajar biasiswa kerajaan ke luar negara memperoleh keputusan cemerlang iaitu dengan mendapat kepujian kelas pertama berada di tahap yang sangat membanggakan.

    Pelajar-pelajar yang berjaya mencatatkan kadar kepujian kelas pertama melebihi 20 peratus setiap tahun manakala kadar kepujian kelas pertama bagi Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan juga meningkat daripada 17 peratus pada 2019 kepada 28 peratus pada 2021.

    Perkara itu dikongsikan oleh Ketua Jabatan Pengurusan Biasiswa, Awang Julaihi bin Mohamat pada Majlis Penyampaian Anugerah Graduan Cemerlang 2022 yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) di ibu negara, hari ini.

    Pada majlis itu, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman telah menyampaikan anugerah kepada 31 graduan cemerlang 2022 yang terdiri daripada 17 graduan Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Manakala itu, 14 graduan lagi yang mengikuti di bawah Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan (SBPP) yang berjaya menamatkan pengajian pada 2020 dan 2021.

    Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa menyampaikan anugerah kepada salah seorang graduan cemerlang 2022 pada majlis yang diadakan di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, kelmarin.
    Salah seorang graduan semasa menerima anugerah daripada Yang Berhormat Menteri Pendidikan pada majlis tersebut.
    Sebahagian daripada graduan kelas pertama universiti luar negara yang diraikan pada majlis berkenaan.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, setiausaha tetap, pemangku setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pendidikan, naib-naib canselor dan rektor, ketua-ketua jabatan, pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan.

    Awang Julaihi selaku pengerusi majlis turut menjelaskan, dua tahun kebelakangan ini merupakan detik sangat mencabar dan sukar bagi seluruh warga dunia akibat penularan wabak COVID dan ini juga tidak terkecuali bagi golongan pelajar termasuk pelajar yang menuntut di luar negara.

    Beliau juga menjelaskan, pelajar perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam pendidikan terutama dalam beralih ke pembelajaran dalam talian.

    Walaupun begitu, tambahnya, kesukaran dan cabaran seumpama ini tidak sama sekali mematahkan semangat pelajar untuk terus berusaha mendapatkan keputusan cemerlang.

    “Ini terbukti apabila pelajar-pelajar di bawah skim biasiswa kerajaan ke luar negara peringkat ijazah sarjana muda terus mencatat peningkatan membanggakan dalam kadar pengijazahan tahun ke tahun daripada 88.2 peratus pada 2019,” tambahnya.

    Menurutnya lagi, kadar tersebut terus meningkat kepada 91.8 peratus pada 2020 dan pada 2021, meningkat kepada 92 peratus.

    Manakala itu, kadar pengijazahan bagi Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan bagi tempoh yang sama adalah 93 peratus pada 2019 dan menurun kepada 80 peratus pada 2020 tapi meningkat semula ke kadar 94 peratus pada 2021.

    Beliau seterusnya menjelaskan bahawa kadar penurunan pada 2020 itu adalah disebabkan beberapa faktor termasuk pelajar yang mengambil keputusan untuk menangguhkan pengajian mereka semasa awal penularan wabak COVID.

    Majlis turut menyaksikan ucapan daripada wakil graduan, Dayangku Nurin Nabeelah Pengiran Haji Abu Bakar yang menyembahkan ucapan menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan Brunei atas peluang yang diberikan untuk melanjutkan pengajian di luar negara dalam bidang masing-masing

    Dalam ucapan itu, beliau antara lain mengongsikan pengalaman dan cabaran untuk mendapat kelas pertama yang pastinya diidamkan oleh semua yang bergelar graduan di mana terpaksa bersengkang mata ada masanya lupa untuk menjamah makanan.

    Selepas penyampaian plak dan sijil penghargaan kepada para graduan yang diraikan, Yang Berhormat Menteri Pendidikan beramah mesra bersama graduan dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.

    Sementara itu, temu bual media dengan salah seorang graduan dalam Bachelors (Hons) Urban Planning dari Newcastle University, Newcastle upon Tyne, Awang Mohamad Izuddin bin Haji Mohammad Amirul Shahnoel mengongsikan beliau meneruskan tahun akhir pengajiannya di Brunei disebabkan pandemik tahun lalu dan telah berjaya menamatkannya pada Julai tahun lalu.

    “Semasa meneruskan pengajian di rumah ketika itu, apa yang dihadapi adalah pembahagian masa tapi rasa bersyukur kerana dapat dekat dengan keluarga dimana mereka sering bertanya dan memberi sokongan,” ujarnya.

    Antara lain tujuan majlis adalah untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada usaha graduan dalam mencapai kelulusan yang cemerlang di samping menjadi inspirasi dan galakan kepada pelajar lain supaya lebih bersemangat untuk meraih kejayaan dalam pengajian.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...