Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    78.2 peratus kanak-kanak divaksinasi

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Sebanyak 399 dos pertama vaksin COVID telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama kepada 33,575 dos iaitu 78.2 peratus bagi kanak-kanak di dalam kumpulan umur tersebut.

    Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku wakil menteri kesihatan mengongsikan perkara itu semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Sementara itu, sebanyak 1,147 dos kedua vaksin COVID telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun yang membawa kepada jumlah dos kedua bagi kumpulan umur itu kepada 15,454 dos iaitu 36 peratus.

    “Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak berumur di antara lima hingga 11 tahun dan yang telah mendapatkan dos pertama serta sudah cukup masa untuk mendapatkan dos kedua adalah dialu-alukan untuk membawa anak-anak mereka mendapatkan dos kedua bagi melengkapkan vaksinasi,” kata Yang Berhormat Pehin.

    Menurutnya, pemberian vaksin COVID kepada kanak-kanak terbukti dapat memberikan perlindungan daripada kesan-kesan buruk COVID termasuk ‘multisystem inflammatory syndrome in children’ (MIS-C) yang boleh menyebabkan komplikasi kepada pemulihan daripada COVID bagi kanak-kanak.

    Manakala ketika menyentuh mengenai kadar vaksinasi keseluruhan, Yang Berhormat Pehin menjelaskan, liputan keseluruhan dua dos vaksin ialah 98.3 peratus manakala 69.5 peratus bagi dos ketiga vaksin.

    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua semasa menghadiri sidang media tersebut, kelmarin. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...