Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    $78,466 disumbangkan untuk DANA

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Sumbangan berjumlah $78,466 telah diterima daripada pelbagai pihak untuk Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA) pada majlis yang diadakan di Dewan An-Naura, Tingkat 2, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini, hari ini.

    Kesemua sumbangan telah diterima oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA.

    Pada majlis itu, Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu menyumbangkan sebanyak $11,950 yang disampaikan oleh isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohamad selaku pengerusi II kumpulan berkenaan.

    Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah yang diwakili oleh Pengetua, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad, menyampaikan sumbangan berjumlah $1,300 yang merupakan kutipan 5 peratus daripada acara Virtual MD Fun Walk 2021 yang telah diadakan pada April lalu.

    Syarikat Petrofes Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Effendi bin Said menyampaikan sumbangan berjumlah $1,000, Brunei Students’ Union Wellbeing United Kingdom diwakili oleh setiausaha kesatuan, Dayang Hanah binti Omarali menyampaikan sumbangan sebanyak $500 dan Persatuan Fu Zhou Shiyyi (Brunei) iaitu seramai 71 orang ahli yang terdiri daripada syarikat perniagaan dan individu persatuan, menyumbangkan sebanyak $63,716 keseluruhannya.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DANA, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman.

    DANA sangat menghargai sokongan dan derma daripada para dermawan bagi sama-sama membantu DANA dalam usahanya untuk mempertingkatkan kesejahteraan hidup anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam. Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah ialah sekretariat bagi DANA.

    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua menerima sumbangan daripada Persatuan Fu Zhou Shiyyi.
    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua menerima sumbangan yang diserahkan oleh Datin Paduka Hajah Jahrah.
    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua menerima sumbangan daripada Syarikat Petrofes yang diwakili oleh Awang Effendi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...