Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Aktiviti rentas sempadan dibuka 1 Ogos

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Aktiviti rentas sempadan dijangka bakal disambung semula 1 Ogos nanti berdasarkan pengemaskinian sukat-sukat bagi pemulihan lanjut aktiviti rentas sempadan yang diumumkan hari ini.

    Jawatankuasa Pandu COVID-19 mengemaskinikan beberapa definisi perjalanan keluar negara bagi rakyat dan penduduk tetap negara ini melalui sempadan udara, darat dan air, yang antaranya status ‘vaksinasi penuh’ iaitu sekurang-kurangnya mendapatkan tiga dos vaksin.

    Jika belum tiga dos vaksinasi, dos kedua mestilah dalam masa tidak lebih dari tiga bulan sebelum tarikh meninggalkan negara ini.

    Pengemaskinian itu adalah pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Pengumuman tersebut dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof pada Sidang Media COVID-19 Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menghadiri sidang media tersebut.

    Sementara itu, Yang Berhormat Pehin turut menjelaskan mengenai definisi ‘vaksinasi penuh’ bagi warganegara asing yang ingin membuat perjalanan masuk atau keluar negara bagi apa jua jenis perjalanan sama ada melalui udara, darat atau air iaitu mereka mesti dilengkapi sekurang-kurangnya dua dos vaksin.

    Walau bagaimanapun, menurut Yang Berhormat Menteri di JPM, warganegara asing yang hendak masuk ke negara ini adalah disarankan untuk mendapatkan dos penggalak bagi menjaga keamanan, keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

    Di kesempatan itu, beliau menasihatkan mereka yang masih belum mendapatkan atau melengkapkan suntikan vaksin COVID termasuk dos penggalak untuk mendapatkannya dengan segera bagi mengelakkan daripada gejala yang lebih teruk.

    Syarat-syarat perjalanan keluar dan masuk melalui pos-pos kawalan darat dan laut, jelas Yang Berhormat Pehin, adalah untuk mengikut syarat-syarat perjalanan melalui udara yang dilaksanakan pada masa ini, iaitu mempunyai vaksinasi penuh; mendapatkan insurans perubatan perjalanan yang meliputi rawatan COVID sebelum keluar negara iaitu bagi rakyat dan penduduk tetap dan mengisikan Arrival Declaration Form (ADF) sebelum memasuki atau kembali ke negara ini.

    Jawatankuasa Pandu COVID-19 akan terus memantau keadaan semasa jangkitan COVID di negara ini di samping memastikan langkah-langkah pengawalan yang dikenakan adalah bersesuaian, demi menjaga keselamatan, kesejahteraan dan keamanan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Menteri di JPM seterusnya menambah bahawa sebarang perubahan dan pengemaskinian akan segera dimaklumkan kepada orang ramai.

    Bagi sebarang maklumat lanjut dan terperinci, bolehlah melayari laman sesawang JPM di alamat www.pmo.gov.bn/travelportal atau menghubungi travel hotline di talian 120 semasa waktu bekerja ataupun melalui e-mel kepada travelapplication@jpm.gov.bn.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...