Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Komited perkukuh kedudukan negara di persada dunia

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar fail Infofoto

    Negara Brunei Darussalam terus mengorak langkah ke hadapan dalam usaha untuk memainkan peranan penting dan memperkukuh kedudukan negara di persada antarabangsa dengan menjalinkan kerjasama erat bersama negara-negara sahabat serantau dan antarabangsa.

    Berkat pemerintahan dan kepimpinan raja yang berdaulat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pelbagai kemajuan telah dicapai dan terus diperkukuhkan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pertahanan, pendidikan, perubatan dan politik.

    Ke arah memartabatkan negara di mata dunia, Baginda Sultan menekankan peranan penting negara sama ada pada peringkat antarabangsa dan serantau di mana untuk mencapai hasrat berkenaan, Baginda berkenan berangkat menghadiri mesyuarat pemimpin negara untuk terus memperkukuhkan negara sekali gus memberikan kepercayaan dan meletakkan negara di posisi yang setanding dengan negara-negara dunia yang lain.

    Semasa Negara Brunei Darussalam mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 di Bandar Seri Begawan pada 26 Oktober 2021 yang bertemakan We Care, We Prepare, We Prosper, Baginda bertitah bahawa ASEAN telah mencapai kemajuan dalam meningkatkan usaha-usaha pembangunan Komuniti ASEAN dan pada masa yang sama dalam menangani pandemik COVID-19.

    Kesepaduan dan usaha sama ASEAN juga penting bagi masa depan serantau dalam dunia yang sentiasa berubah. Negara Brunei Darussalam pada 2021 menekankan kepentingan untuk memeduli rakyat dan mempersiapsiagakan mereka menghadapi masa hadapan.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 di Bandar Seri Begawan pada 26 Oktober 2021.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2022 yang berlangsung di DP World Arena pada 30 Mac 2022.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menghadiri Sidang Kemuncak Ketua-ketua Negara dan Kerajaan Kumpulan G20 di Rom, Republik Itali pada 30 Oktober 2021.
    Baginda Sultan berkenan menghadiri sesi Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang berlangsung di Washington pada 15 Mei 2022.

    Selain itu, negara turut menekankan kepentingan pembangunan belia bukan sahaja di dalam negara tetapi juga berusaha untuk memperkasakan belia berdaya tahan serantau dengan penubuhan ASEAN Junior Fellowship Programme.

    Menerusi program itu, Negara Brunei Darussalam akan menyumbangkan dana bagi tempoh 10 tahun akan datang dengan matlamat untuk memperkasa belia menjadi berdaya tahan dan dinamik dengan membangunkan kemahiran dan pengetahuan mereka.

    Usaha itu menunjukkan komitmen negara untuk berdiri teguh bersama rakan-rakan serantau ASEAN bagi memastikan belia, yang merupakan aset pembangunan masa hadapan, diberikan bimbingan untuk menjadi peneraju dan penerus agenda pembangunan negara dan rantau ASEAN.

    Sementara itu, pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-39, Baginda Sultan bertitah menekankan kemajuan signifikan ASEAN dalam mengukuhkan kerjasama bersama rakan-rakan luar dan mengambil maklum terhadap perkembangan kerja-kerja untuk menangani COVID secara kolektif dan bersiap siaga bagi masa hadapan.

    Proses-proses yang dipimpin oleh ASEAN adalah cara yang terbaik untuk menangani isu-isu yang dihadapi bersama secara berkesan.

    Baginda Sultan seterusnya menekankan kepentingan ASEAN menegakkan struktur serantau yang terbuka, inklusif dan berdasarkan peraturan dengan ASEAN sebagai pusatnya.

    Sehubungan itu, ASEAN perlu menjalin perkongsian yang kukuh dan berkepelbagaian serta mempertimbangkan bagaimana rakan-rakan ASEAN boleh memperkayakan proses-proses pimpinan ASEAN ke arah mencapai keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

    Situasi di Myanmar telah menarik perhatian global pada 2021 dan Negara Brunei Darussalam selaku pengerusi ASEAN 2021, menegaskan bahawa Myanmar adalah sebahagian daripada keluarga ASEAN. Sementara menghormati prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalam negara, mesyuarat menekankan bahawa adalah penting memberikan ruang kepada Myanmar untuk kembali kepada keadaan normal.

    Baginda Sultan berharap Myanmar akan melaksanakan Konsensus Lima Perkara secara sepenuhnya dengan seberapa segera mungkin untuk mendapatkan semula keyakinan masyarakat serantau dan antarabangsa.

    Manakala itu, dalam menghadapi ketegangan geopolitik dan konflik antara kuasa-kuasa besar, pemimpin-pemimpin ASEAN menggariskan bahawa pemusatan dan perpaduan ASEAN adalah amat penting apabila melibatkan rakan-rakan luar dalam mengetengahkan isu-isu seperti Indo-Pasifik, Laut China Selatan, Semenanjung Korea serta perjanjian-perjanjian keselamatan baharu.

    Ke arah usaha untuk memajukan ekonomi dan akses kepada pasaran antarabangsa, Negara Brunei Darussalam bersama negara-negara rakan telah menyaksikan penguatkuasaan Perjanjian Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) Januari 2022 bagi Australia, Brunei Darussalam, Kemboja, Republik Rakyat China, Jepun, Laos, New Zealand, Singapura, Thailand, Vietnam dan Republik Korea.

    Penguatkuasaan Perjanjian RCEP merintis jalan untuk mewujudkan kawasan perdagangan bebas yang meliputi, berdasarkan data Bank Dunia, 2.3 bilion orang atau 30 peratus daripada penduduk dunia, justeru menyumbang kepada AS$25.8 trilion atau kira-kira 30 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global serta AS$12.7 trilion atau lebih satu perempat daripada perdagangan global dalam barangan dan perkhidmatan serta 31 peratus daripada aliran masuk FDI global.

    Angka-angka berkenaan menjadikan Perjanjian RCEP sebagai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terbesar di dunia yang dijangka akan memudahkan rantaian nilai global dan perdagangan dalam rantau ini.

    Ketika dunia terus bergelut dengan kekacauan ekonomi yang disebabkan wabak pandemik COVID-19, penguatkuasaan Perjanjian RCEP menandakan keazaman rantau ini termasuk Brunei untuk memastikan pasaran tetap terbuka, meningkatkan integrasi ekonomi serantau, menyokong sistem perdagangan pelbagai hala yang terbuka, bebas, adil, inklusif dan berasaskan peraturan serta menyumbang kepada usaha pemulihan pasca pandemik global.

    Negara-negara ahli RCEP yakin dengan komitmen akses pasaran, bersama dengan peraturan dan disiplin yang dikemas kini dan dimodenkan bagi memudahkan perdagangan dan pelaburan, Perjanjian RCEP akan memberikan peluang baharu kepada peniaga-peniaga, mengukuhkan rantaian bekalan di rantau dan menggalakkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam rantaian nilai serantau dan hab pengeluaran. Seterusnya, dalam usaha mempromosikan kemakmuran ekonomi di luar rantau ASEAN, Baginda Sultan juga menekankan kepentingan kerjasama yang lebih erat antara ASEAN dan UAE dalam titah Baginda ketika berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2022 yang berlangsung di DP World Arena pada 30 Mac 2022.

    Mengenai keamanan dan kestabilan, Baginda menekankan adalah penting bagi meneruskan kemajuan ekonomi untuk menjamin masa depan generasi akan datang ke arah yang lebih cerah.

    Selain menekankan peranan negara dalam bidang kerjasama politik dan ekonomi, Negara Brunei Darussalam juga menumpu pada isu-isu perubahan iklim, pembangunan mampan serta pemuliharaan alam sekitar.

    Ke arah itu, Negara Brunei Darussalam menekankan komitmen kepada isu perubahan iklim pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-26 (COP 26).

    Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan telah dilancarkan pada 2020, yang menggariskan 10 strategi utama yang akan membentuk masa depan karbon rendah dan berdaya tahan.

    Pada persidangan itu juga, Negara Brunei Darussalam juga menyampaikan Nationally Determined Contributions (NDC), dengan komitmen untuk mengurangkan 20 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau negara menjelang 2030.

    Dalam mempertingkatkan lagi hasrat iklim, Negara Brunei Darussalam sedang menuju ke arah Sifar Bersih (Net Zero) menjelang 2050, yang akan didorong terutamanya melalui peralihan tenaga dan pemeliharaan hutan.

    Walaupun Negara Brunei Da-russalam hanya menyumbang kepada kira-kira 0.025 peratus daripada pelepasan rumah hijau global, ia percaya menerusi tindakan yang diambil, akan mencatat perbezaan positif yang besar.

    Usaha Negara Brunei Darussalam untuk menangani isu perubahan iklim bersama telah ditekankan oleh Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung pada 15 Mei 2022, di mana Baginda menzahirkan penghargaan kepada AS atas pembaharuan komitmennya terhadap perubahan iklim, sepertimana semasa COP-26 di Scotland.

    Baginda seterusnya mengucapkan tahniah kepada presiden AS atas usaha-usaha peribadi beliau untuk bekerjasama dengan negara-negara kuasa besar yang lain bagi melaksanakan Perjanjian Paris.

    Baginda seterusnya bertitah bahawa ASEAN juga memberikan penekanan yang mendalam terhadap perubahan iklim. Ia dapat dilihat menerusi penubuhan ASEAN Climate Change Centre di mana Baginda juga merakamkan penghargaan kepada AS atas kesediaan negara itu untuk menghantar seorang Science Fellow untuk mendukung penubuhan pusat berkenaan di Brunei Darussalam.

    Dalam menuju masa depan, Baginda bertitah bahawa banyak usaha perlu dilaksanakan untuk menangani tindakan iklim terutamanya dalam pembangunan kapasiti.

    Pendekatan yang diambil oleh Brunei untuk bergiat aktif dan memainkan peranan penting dalam sama-sama menangani isu-isu serantau dan antarabangsa menunjukkan bahawa negara tidak hanya menumpu pada usaha membangunkan dan memajukan negara semata-mata tetapi penyertaan negara dalam pelbagai persatuan antarabangsa sejak mencapai kemerdekaan pada 1984 termasuk ASEAN, APEC, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Komanwel, RCEP dan OIC, membuktikan komitmen Baginda Sultan untuk terus memartabatkan Negara Brunei Darussalam di mata dunia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...