Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Bangku berkaki spiral cukup unik

    Oleh Amri HTZ

    Sebelum membuang barangan yang tidak berguna, ambil masa sejenak untuk memikirkan adakah ia boleh diperbaiki atau dipergunakan semula menjadi suatu rekaan yang baharu.

    Barangan seperti besi, plastik dan kayu merupakan antara barang yang boleh dimanfaatkan semula penggunaannya tertakluk kepada keadaan dan bentuk rekaan.

    Bukan sahaja mengamalkan sikap mengurangkan pembaziran, langkah mempergunakan semula barangan terpakai juga kadangkala menjimatkan perbelanjaan untuk memiliki sesuatu perhiasan bagi sesebuah ruangan rumah.

    Projek rekaan perlu persediaan

    Dalam projek rekaan kali ini akan mempergunakan slat katil yang tidak digunakan lagi bagi mereka bangku tempat duduk atau meletakkan sesuatu.

    Sebelum memulakan proses rekaan, terlebih dahulu sediakan barangan seperti slat katil terpakai, mesin gerudi, mata gerudi berdiameter 15mm, dowel berdiameter 15mm, kertas pasir atau mesin orbital sander, gam kayu, skru atau paku, gergaji kayu atau mesin pemotong kayu, pita pengukur, pensel penanda dan pembaris.

    Kepingan slat katil terpakai yang akan dijadikan material utama untuk rekaan.
    Sebahagian kayu akan dipotongkan dengan ukuran 12 inci untuk mereka kaki bangku.
    Bahagian tengah kayu untuk kaki bangku akan ditebuk bagi ruangan untuk menempatkan dowel.
    Dowel yang ditempatkan pada bahagian tengah kaki bangku untuk membentuk lingkaran (spiral) agar selaras.
    Teknik mencantumkan kepingan kayu menjadi satu (permukaan utama bangku) menggunakan kayu berukuran 12 inci pada bahagian bawahnya.

    Ukur, potong dan cantum

    Untuk langkah pertama, bersihkan permukaan kayu yang hendak digunakan daripada stapler, paku atau skru. Gunakan tukul atau alat bersesuaian bagi menanggalkannya agar proses meratakan atau melicinkan permukaan menggunakan kertas pasir menjadi lebih mudah.

    Pada kebiasaannya permukaan kayu slat katil sememangnya mempunyai permukaan yang sudah rata tetapi mempunyai permukaan kasar dan kadangkalanya terdapat serpihan kayu yang tajam dan boleh mencederakan. Perkara ini perlu dielakkan memandangkan ia akan dijadikan bangku tempat duduk selain sebagai langkah berjaga-jaga ketika awda mengendalikannya dalam proses rekaan.

    Gosok permukaan kayu menggunakan kertas pasir berukuran 400 grit atau lebih halus secara manual mahupun mesin melalui orbital sander yang mampu menjimatkan tenaga dan masa rekaan. Tumpukan perhatian pada bahagian sudut kayu terutamanya bagi kayu yang mempunyai sudut 90 darjah.

    Selain itu terdapat dua jenis slat kayu pada kebiasaannya digunakan pada sesebuah katil sama ada mempunyai sudut membulat atau 90 darjah. Bagi langkah mereka bahagian utama bangku, awda boleh memilih untuk meratakan sudut kayu menjadi 90 darjah atau membiarkannya dalam bentuk asalnya dalam memudahkan proses mencantumkannya menjadi satu.

    Jika awda memilih untuk mendapatkan sudut 90 darjah dan mencantumkan menjadi satu menggunakan gam kayu, lebih daripada empat batang kayu diperlukan untuk menjadikan lebar yang diperlukan iaitu 12 inci. Gunakan mesin pemotong kayu meja untuk menda-patkan sudut sedemikian dan setelah melakukannya, sapukan gam kayu pada permukaan cantuman dan kekalkan kedudukannya secara sementara menggunakan pengepit kayu. Biarkan gam mengering selama beberapa jam sebelum beralih ke langkah seterusnya.

    Manakala bagi awda yang memilih untuk mengekalkan sudut membulat kayu, awda perlu memotongkan kayu berukuran 12 inci panjang untuk empat batang sebagai penyokong utama susunan kayu untuk permukaan utama. Kayu-kayu tersebut akan dicantumkan pada bahagian bawah permukaan utama bangku menggunakan gam kayu dan skru. jarak setiap kayu penyokong perlulah selaras sesuai dengan panjang bangku. Langkah seperti ini juga boleh dilakukan untuk kayu 90 darjah yang dicantumkan menjadi satu sebelumnya.

    Bagi bahagian kaki bangku, 30 batang kayu dengan panjang 12 inci diperlukan untuk mereka kedua-dua kaki bangku. Salah satunya akan dicantumkan seperti biasa menggunakan 15 batang kayu sementara satu lagi dalam bentuk lingkaran juga menggunakan 25 batang kayu.

    Untuk bahagian kaki bangku berupa bentuk cantuman biasa, kepingan kayu disusun dalam keadaan sama dan setiap kepingan disapukan dengan gam kayu pada setiap permukaan cantuman. Setiap kepingan yang dicantumkan diikuti dengan skru bagi mengukuhkannya. Pastikan skru yang digunakan tidak melebihi 1 ½ inci memandangkan ketebalan kayu adalah 1 inci dan jika skru digunakan terlalu panjang, ia akan menembusi bahagian kayu lain.

    Sementara bahagian kaki bangku satu lagi, bentuk seperti lingkaran bagi memberi kelainan. Satu persatu kayu disusun mengikut susunan pada kedudukan bertentangan dengan permukaan utama bangku namun terlebih dahulu bahagian tengah akan ditebuk dengan mata gerudi bagi ruangan dowel.

    Dowel yang dimasukkan berfungsi sebagai mekanisme utama dalam memastikan setiap kepingan pada kedudukan (tengah) yang sama. Susunan kemudiannya akan diakhiri dengan kedudukan sama seperti susunan pertama di mana ini akan memastikan kestabilan bangku apabila dicantumkan.

    Setiap kepingan yang dicantumkan menggunakan gam kayu akan diikuti dengan pemasangan skru (kawasan berhampiran dowel) sama seperti langkah sebelumnya untuk mengukuhkannya.

    Dalam mengakhiri proses rekaan, tetapkan kedua-dua kaki bangku menggunakan skru dari bahagian atas permukaan utama bangku dengan kedudukan akan ditetapkan dan ditebuk lebih awal. Selain penggunaan skru, langkah mencantumkan juga perlu diikuti dengan menyapukan gam kayu pada permukaan cantuman. Bagi memastikan kayu mampu bertahan lama, gunakan wood finish bersesuaian sama ada berbentuk varnis, cat, berasaskan minyak mahupun wax bagi mendapatkan hasil akhir yang dinginkan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...