Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Barangan buatan Brunei teroka pasaran Jepun

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Lima buah perniagaan tempatan telah mengambil bahagian dalam Pameran Makanan & Minuman Unggul Jepun, FOODEX 2022, untuk mendapatkan pengesahan pasaran dan meneroka peluang-peluang eksport yang berpotensi.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Darussalam Entreprise (DARe), di sini, DARe, Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Tokyo, Jepun dan Pusat ASEAN-Jepun (AJC) bekerjasama bagi penyertaan perniagaan-perniagaan Brunei sebagai sebahagian daripada projek pembangunan produk sedang berjalan meluas iaitu Meningkatkan Kualiti Produk-produk Brunei.

    Pada 2022, FOODEX Japan berlangsung dari 8 hingga 11 Mac di Makuhari Messe, Chiba di mana ia menyaksikan penyertaan ribuan peserta dari lebih 90 buah negara.

    Produk-produk tempatan dari Ghanim International Corporation, Volco Venture, Sabli Group of Companies, Taurean Bakeshop & Cafe serta Syarikat Rizqussalam telah dihantar ke Jepun dan dipamerkan di pameran Brunei yang dikunjungi oleh pengedar-pengedar, penjual serta rakan-rakan kongsi perniagaan berpotensi yang lain.

    Kedutaan Negara Brunei Darussalam dan AJC telah melaksanakan Projek Meningkatkan Kualiti Produk-produk Brunei pada 2020 dengan kerjasama DARe untuk menilai dan membangunkan produk-produk buatan Brunei yang sedia ada bagi pasaran Jepun.

    Pelawat mengunjugi salah sebuah petak pengusaha negara. – Gambar serahan Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Tokyo, Jepun.

    Projek itu mendapatkan khidmat pakar-pakar produk daripada Japan Association of International Business Advisors (AIBA) untuk memberikan konsultasi kepada 10 pembuat tempatan mengenai pelbagai aspek untuk memperbaiki lagi produk-produk mereka termasuk penjenamaan, pembungkusan dan cita rasa.

    Penyertaan pertama perniagaan-perniagaan Brunei dalam FOODEX juga sebahagian daripada inisiatif Market Access DARe yang bermatlamat untuk menyediakan peluang-peluang bagi perniagaan tempatan untuk mengakses pasaran baru di dalam negara dan di luar negara melalui pemadanan perniagaan, pameran perdagangan serta peruntukan saluran jualan dalam talian langsung dan luar talian.

    Market Access juga menawarkan program-program latihan dan konsultasi yang akan membantu perniagaan-perniagaan memperbaiki kompetensi dalaman dan mencapai standard antarabangsa.

    Kuasa Usaha Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Jepun, Pengiran Mohd Azian bin Pengiran Dato Paduka Haji Maidin dipetik berkata, penyertaan Brunei dan FOODEX merupakan sebahagian daripada usaha bersama berterusan untuk membantu produk-produk tempatan memasuki pasaran Jepun.

    “Pelanggan Jepun sering kali ingin tahu dengan lebih mendalam mengenai produk-produk Brunei. Penyertaan kita di dalam FOODEX merupakan satu peluang yang berharga kerana ia mengetengahkan apa yang dapat kita tawarkan serta juga meningkatkan kesedaran mengenai Brunei secara keseluruhannya.”

    Beliau berkata, dengan sokongan daripada DARe, pihak kedutaan akan terus bekerja keras untuk mendekati pengimport dan pengedar Jepun bagi menembusi pasaran di Jepun.

    Volco Venture syarikat pembuat sos pedas dipetik menyatakan bahawa penyertaan mereka dalam FOODEX dan projek Meningkatkan Kualiti Produk-produk Brunei telah membawa ke hadapan rancangan mereka untuk berkembang ke sebuah lokasi perindustrian tidak lama lagi.

    “Kami telah menghasilkan sos pedas kami sejak 2014, menjualnya kebanyakannya melalui media sosial dan dari mulut ke mulut. Dua tahun lalu, kami telah dapat memasuki kedai-kedai runcit kerana Bruneian Made Supermarket Shelves DARe dan hari ini, kami menjual di lebih daripada 12 cawangan di seluruh negara,” kata Awang Mohd Vol Momin yang menjalankan perniagaan itu bersama anak perempuannya, Dayang Nadiatul, yang berharap produk akan menembusi bukan sahaja pasaran Jepun malah antarabangsa.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...