Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Buat perubahan positif demi kesihatan jantung

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Sempena Hari Jantung Sedunia 2022, Menteri Kesi-hatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar) menyeru semua orang bersama-sama memainkan peranan menyumbang kepada perubahan positif dalam kehidupan diri sendiri dan orang sekeliling terutama ahli keluarga tersayang ke arah pilihan dan tingkah laku yang lebih sihat.

    “Sertailah aktiviti-aktiviti dan manfaatkanlah perkhidmatan yang mendorong kepada penjagaan kesihatan jantung yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan dan sektor kesihatan lain.

    “Insya-Allah, dengan perubahan-perubahan yang diambil bersama ini nanti, risiko dan beban penyakit kardiovaskular dan penyakit-penyakit tidak berjangkit yang lain akan dapat dikurangkan, kualiti kehidupan kita semua dapat dipertingkatkan dan kualiti kehidupan generasi akan datang juga terjamin.”

    Yang Berhormat Dato membuat seruan itu dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Jantung Sedunia 2020 bertemakan ‘Gunakan Jantung untuk Setiap Jantung’ yang diraikan pada 29 September.

    Mengulas mengenai tema sambutan itu, Yang Berhormat Dato berkata, ia menekankan tiga mesej utama iaitu gunakan jantung untuk kemanusiaan, gunakan jantung untuk alam semula jadi dan gunakan jantung untuk diri sendiri.

    Mesej gunakan jantung untuk kemanusiaan menekankan bahawa kita perlu sama-sama meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai penyakit kardiovaskular dan langkah-langkah utama bagi pencegahannya.

    Bagi mesej gunakan jantung untuk alam semula jadi, beliau berkata, pencemaran udara mengakibatkan 25 peratus daripada semua kematian penyakit kardiovaskular.

    Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk menjadi lebih aktif berbasikal atau berjalan kaki, dan mengurangkan penggunaan kereta di mana bersesuaian, untuk sama-sama menyumbang ke arah udara yang bersih, sekali gus membantu meningkatkan kesihatan jantung.

    Manakala itu, bagi mesej gunakan jantung untuk diri sendiri, orang ramai dinasihatkan untuk melakukan senaman secara konsisten, bertafakur atau bermeditasi, mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang, mendapatkan rehat yang cukup dan tidur yang berkualiti untuk mengurangkan tekanan stres dan risiko serangan jantung.

    Melakukan senaman secara kerap seperti berjalan kaki setiap hari dapat membantu meningkatkan kesihatan jantung, mendapatkan kualiti tidur dan kesihatan mental yang baik, sekali gus mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular termasuk penyakit jantung.

    “Insya-Allah, penglibatan orang ramai secara individu atau secara berkumpulan untuk lebih aktif setiap hari akan membantu seluruh penduduk kitani untuk mencapai kesihatan jantung yang lebih baik,” kata Yang Berhormat Dato lagi.

    Terdahulu dalam perutusannya, beliau mengongsikan bahawa di Negara Brunei Darussalam, penyakit kardiovaskular telah mengambil alih kanser sebagai penyebab kematian keseluruhan dan kematian pra-matang tertinggi serta menyumbang kepada lebih daripada 25 peratus punca kematian pada 2021.

    “Perkara ini mungkin lazim diketahui ramai namun apa yang membimbangkan ialah peningkatan penyakit kardiovaskular dalam kalangan golongan yang lebih muda.

    “Pada 2021, penyakit kardiovaskular menyebabkan lebih kurang 25 peratus daripada kematian pra-matang (kematian sebelum umur 70 tahun) di negara ini, yang mana meningkat daripada 20 peratus pada 2013,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...