Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Hiasi ruangan dinding dengan rekaan sendiri

    Oleh Amri HTZ

    Masa itu emas dan pengurusan masa dalam kehidupan seharian amat penting bagi membolehkan penyusunan aktiviti atau tugasan yang ingin dilakukan.

    Disebabkan kepentingannya, jam direka untuk mengukur masa bagi menandakan masuknya waktu-waktu tertentu seperti pagi, tengah hari, petang mahupun malam.
    Selain untuk mengukur masa, jam juga bertujuan sebagai perhiasan baik bagi diri, material mahupun rumah.

    Sedia barangan penting lebih awal

    Projek kali ini akan mereka jam dinding yang diperbuat daripada papan MDF.
    Keunikan struktur keseluruhan rekaan pada projek ini juga bertujuan untuk menyerikan dinding sesebuah ruangan yang dirasakan terlalu ‘kosong’.

    Untuk merekanya awda perlukan sekeping papan MDF atau lapis, mekanisme jam dinding dengan jarum jam bersaiz besar, pelekat berbentuk heksagon berwarna keemasan, cat sembur berwarna hitam jenis matte, paku, penggantung bingkai, mesin jig, pisau utiliti, mesin gerudi, pembaris, pita pengukur, heat gun, wood filler, kertas pasir, alat penyeka dan vernier caliper.

    Cukup mudah namun menarik

    Bagi langkah permulaan, papan yang telah disediakan terlebih dahulu perlu diperiksa dan pastikan ia dalam keadaan sangat rata.

    Bahagian permukaan kayu yang telah ditandakan dengan garisan untuk kedudukan pelekat dan langkah pemotongan.
    Pelekat berbentuk heksagon disusun untuk menandakan kedudukan sebelum proses pemotongan papan MDF.
    Papan yang telah dipotong dan disebur dengan cat hitam jenis matte.

    Ini kerana ketika pelekat yang digunakan pada permukaan kayu nanti, sebarang ketidaksempurnaan seperti benjolan dan lopak akan terpapar jelas memandangkan pelekat yang digunakan memantul imej seperti cermin.

    Apabila ini berlaku, imej yang dipantulkan dalam keadaan tidak sempurna setentunya akan menjejaskan hasil akhir rekaan.

    Jika terdapat permukaan yang tidak rata, gunakan bahagian papan lapis di sebelahnya atau awda juga boleh membaiki permukaan kayu tersebut sama ada menggunakan ketam kayu mahupun wood filler.

    Permukaan yang benjol boleh diratakan menggunakan ketam kayu. Selain penggunaan ketam kayu, kertas pasir juga boleh digunakan namun perlu menggunakan sanding block agar permukaan kayu boleh menjadi rata.

    Manakala bagi permukaan berlubang atau berlopak, awda boleh mengisikannya menggunakan wood filler.

    Warna wood filler yang digunakan di sini bukanlah satu kepentingan kerana keseluruhan permukaan kayu pada akhirnya nanti akan diwarnakan dengan cat sembur berwarna hitam. Setelah mengisikannya dengan wood filler, biarkan ia mengering mengikut arahan diberikan oleh pengilang.

    Wood filler yang telah mengering kemudiannya akan digosok menggunakan kertas pasir berukuran 400 grit.

    Ini bagi memastikan ia benar-benar selaras dengan permukaan papan.

    Jika masih terdapat permukaan yang tidak rata, awda masih boleh mengisikannya dengan wood filler dan mengulangi langkah meratakannya.

    Setelah yakin dengan kerja meratakan permukaan kayu yang dilakukan, pada langkah seterusnya, awda boleh memotongkan papan MDF tersebut selaras dengan jumlah pelekat berbentuk heksagon yang digunakan.

    Pada projek ini, 18 keping pelekat heksagon akan digunakan dengan bahagian tengah papan akan dibiarkan kosong (ruangan kosong diperoleh daripada pelekat berbentuk heksagon), diikuti dengan lapisan pertama (bahagian luarannya) iaitu lima keping pelekat dan lapisan kedua sebanyak 12 kepingan pelekat.

    Bagi memastikan kedudukan kesemua pelekat yang akan ditempatkan dalam keadaan tersusun dan tepat, setiap kepingan pelekat tersebut akan dilakar pada permukaan papan dengan cara meniru bahagian luarnya menggunakan pensel.

    Selain itu, bahagian luaran terakhir (lapisan kedua) akan diberikan sedikit ruangan dengan jarak 2 inci daripada bahagian pelekat bagi membentuk bingkai.

    Setelah mendapatkan bentuk luaran yang diperlukan, kini awda boleh memotongkan papan tersebut menggunakan mesin jig.

    Pastikan mata jig yang digunakan dalam keadaan benar-benar tajam kerana mata yang tumpul bukan sahaja melambatkan proses, bahkan akan menjadikan permukaan potongan rosak.

    Selain itu mata mesin yang tumpul akan menyebabkan potongan menjadi tidak rata (mata pemotong bengkok disebabkan tekanan) sekali gus akan mencacatkan rekaan.

    Penggunaan mesin gelung (band saw) atau skrol merupakan antara pilihan bagi memudahkan proses memotongkan bahagian papan tersebut.

    Namun pada kebiasaannya mesin seperti bandsaw hanya dimiliki oleh mereka yang benar-benar meminati bidang perkayuan memandangkan ia agak berharga untuk didapatkan.

    Sementara mesin skrol, walaupun tidak semahal mesin bandsaw, ia juga memiliki kekurangan di mana biasanya permukaan kerja mesin terhad dan memerlukan sokongan meja lain pada bahagian sisinya untuk memotong material bersaiz besar. Selesai memotongkannya, warnakan permukaan kayu menggunakan cat sembur disediakan.

    Warna hitam sengaja dipilih untuk memadankan rekaan selain menekankan kehadiran bentuk bingkai pada bahagian luarannya.

    Pada bahagian belakang papan, bagi membolehkan awda menempatkan meka-nisme jam, ruangan perlu direka menggunakan mesin router. Ukur ketebalan papan dan mekanisme jam menggunakan vernier caliper sebelum memulakan proses mereka ruangan.

    Tetapkan kedalaman mata mesin sedikit demi sedikit ketika membuangkan material agar tidak membebankan mesin.

    Bagi proses melekatkan kepingan pelekat, alat penyeka perlu ada yang digunakan untuk menggosok permukaan luar pelekat agar dalam keadaan rata.

    Selain itu ia juga bagi memastikan tidak terdapat gelembung angin yang terperangkap di bawahnya.

    Proses melekatkan pelekat ini perlu dilakukan berhati-hati dan mulakan dari salah satu bahagian hujung pelekat dengan bahagian belakang pelindung gam tidak ditanggalkan sekali gus.

    Hal ini dilakukan bagi memastikan pelekat dapat dilekatkan dengan rata dan jika berlaku kesilapan, tidak akan merosakkan keseluruhan perekat.

    Dalam memastikan perekat melekat dalam keadaan kukuh, gunakan heat gun pada permukaan pelekat (setelah kesemuanya dilekatkan) tanpa menumpukan suatu bahagian terlalu lama di mana ia akan menyebabkan perekat mengecut.

    Tujuan utama langkah ini dilakukan adalah bagi mencairkan sedikit gam pada bahagian perekat agar meresap pada permukaan kayu.

    Langkah terakhir ialah menempatkan penggantung pada bahagian belakang rekaan dan menebuk dinding di mana ia hendak digantungkan.

    Dengan menetapkan masa pada mekanisme jam, rekaan tersebut kini merupakan salah satu catatan pengalaman berharga yang dimiliki ketika proses membuatnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...