Sunday, August 14, 2022
25.2 C
Brunei

Jangan pandang remeh Kawasaki, boleh ragut nyawa kanak-kanak

-

KUALA LUMPUR – Penyakit Kawasaki atau turut dikenali sebagai Sindrom Kawasaki walaupun jarang berlaku, ia berisiko menyebabkan kematian dalam kalangan kanak-kanak yang dijangkiti sekiranya tidak diberikan rawatan sesuai dengan segera. 

Pakar Perunding Kanan Pediatrik yang juga Pakar Perunding Imunologi Klinikal dan Alergi di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Intan Hakimah Ismail berkata penyakit itu yang melibatkan keradangan pada pembuluh darah cenderung menyerang kanak-kanak berumur bawah lima tahun. 

“Komplikasi penyakit Kawasaki paling membimbangkan adalah keradangan arteri koronari yang boleh menyebabkan masalah jantung seterusnya berisiko menyebabkan kematian sekiranya tidak mendapat rawatan sewajarnya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Menurut Dr Intan Hakimah yang juga Ketua Unit Imunologi Klinikal, Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM,  penyakit Kawasaki sukar untuk didiagnosis kerana ia mempunyai gejala serupa dengan penyakit lain termasuk demam.

Bagaimanapun, ibu bapa boleh mengambil langkah awal dengan membawa anak mereka berjumpa doktor sekiranya mempunyai gejala seperti demam melebihi lima hari; ruam pada bahagian badan; bengkak kelenjar leher; lidah merah, bengkak, berbiji-biji yang dipanggil ‘lidah strawberi’ dan mata merah tetapi tidak berair atau mempunyai tahi mata.

Penyakit Kawasaki sukar untuk didiagnosis kerana ia mempunyai gejala serupa dengan penyakit lain termasuk demam.

“Jika anak-anak ada gejala ini, segeralah bawa berjumpa dengan doktor sebaik-baiknya pakar kanak-kanak kerana mereka lebih mahir dan boleh mengetahui ia gelaja Kawasaki atau tidak,” katanya. 

Kementerian Kesihatan baru-baru ini memuat naik infografik berhubung penyakit Kawasaki dan menasihatkan ibu bapa agar mendapatkan rawatan segera sekiranya anak mereka mempunyai gejala bagi mengurangkan risiko komplikasi jantung.

Mengenai cara rawatan, Dr Intan Hakimah berkata kanak-kanak yang disahkan dijangkiti Kawasaki kebanyakannya pulih dalam tempoh beberapa hari, namun sesetengah kes serius pesakit perlu dirawat di hospital bagi membolehkan ‘antibodi imunoglobulin’ secara infusi intravena (IV) diberikan kepada mereka.

Dr Intan Hakimah menjelaskan sehingga kini belum dapat dikenal pasti punca sebenar jangkitan Kawasaki yang dikesan oleh pakar Pediatrik Jepun, Dr Tomisaku Kawasaki buat kali pertama pada 1967.

Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya anak-anak mereka demam dan tidak menganggapnya sebagai kebiasaan seperti kanak-kanak itu sedang membesar. Sementara itu, Perunding Kanan Pediatrik Datuk Dr Amar Singh HSS berkata Kawasaki bukan virus dan kanak-kanak di Asia lebih terdedah kepada penyakit itu.

Mengenai langkah pencegahan, Dr Amar yang juga penasihat Majlis Kebangsaan Intervensi Awal Kanak-kanak (NECIC) menasihatkan ibu bapa agar mendapatkan rawatan sekiranya mengesyaki anak mereka mempunyai semua gejala tersebut.

“Tidak diketahui punca penyakit tetapi terdapat rawatan yang baik untuk penyakit Kawasaki iaitu menggunakan immunoglobulin dan aspirin. Bagaimanapun, petunjuk terbaik ialah demam berpanjangan tidak memberi tindak balas kepada rawatan biasa,” katanya. – Bernama

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Dua beradik bersatu semula selepas 75 tahun

BHATINDA, INDIA, 12 OGOS – Air mata kegembiraan membasahi pipi seorang pekerja buruh India yang akhirnya bertemu abang tersayang dari Pakistan buat pertama kalinya...
- Advertisment -