Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Jejambat Lugu dirasmikan, mudahkan penduduk

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Penduduk di kawasan Perumahan Negara Kampung Lugu kini tidak lagi perlu melakukan perjalanan jauh untuk ke Bandar Seri Begawan apabila Jejambat Lugu yang menelan belanja hampir $13 juta telah siap dalam tempoh 24 bulan pembinaan bermula pada November 2019 dan dirasmikan hari ini.

    Dengan adanya jejambat tersebut, penduduk di kawasan berkenan tidak lagi perlu menggunakan Jalan Tutong atau pun pusingan U di Lebuh raya Muara-Tutong yang jauhnya 6 kilometer dari kawasan perumahan tersebut.

    Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar. Ia diselajurkan dengan bacaan Doa Selamat bagi memberkati majlis seterusnya penanaman sebanyak 500 anak pokok di kawasan projek tersebut.

    Acara penanaman pokok ini mencerminkan usaha bersepadu pihak kerajaan merealisasikan salah satu matlamat wawasan negara 2035 di bawah Strategi Negara Hijau di samping mendukung strategi kedua iaitu Liputan Hutan yang terkandung dalam Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam. 

    Perasmian turut dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Haji Sabli bin Haji Arshad , Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari; Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria dan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

    Turut hadir ialah pemangku ketua pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), presiden Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) dan ahli-ahlinya, beberapa orang penghulu dan ketua kampung serta para pegawai dari Kementerian Pembangunan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Menurut kenyataan dikeluarkan JKR, reka bentuk persimpangan adalah jenis trumpet yang dibina bagi menyediakan laluan keluar masuk Lebuhraya Muara-Tutong.

    Skop pembinaan persimpangan termasuk penambahbaikan akses utama perumahan Lugu dari Lebuh raya Muara-Tutong, pembinaan jambatan berkembar, penyediaan lampu jalan pada jambatan dan pemasangan pagar keselamatan.

    Ketika ditemui pihak media, Pemangku Ketua Kampung Lugu dan Katimahar, Haji Bujang bin Abdul Ghani (gambar sisipan bawah) bersyukur dan teruja di atas perasmian jejambat tersebut yang akan memudahkan pengguna kawasan itu dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

    Yang Berhormat Menteri Pembangunan ketika menyempurnakan perasmian Jejambat Lugu. – Gambar oleh Rokiah Mahmud
    Yang Berhormat Menteri Pembangunan semasa menyempurnakan acara penanaman anak pokok di tapak kawasan projek tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...