Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    KAPMAN bakal jadi destinasi pelancongan wajib

    KUALA LUMPUR – Percutian ke bandar raya ini selain dapat ‘mencuci’ mata dengan bangunan pencakar langit, pastinya tidak lengkap jika tidak mengetahui dan menyusuri keunikan serta kegemilangan warisan sejarah Malaysia termasuklah tokoh-tokoh negarawan.

    Bila disebut mengenai negarawan, tempat yang paling sesuai dikunjungi adalah di Memorial Negarawan, Memorial Tun Hussein Onn, Memorial Tunku Abdul Rahman dan Bangunan Residensi (Rumah Rasmi Perdana Menteri Pertama) yang terletak di kawasan Kompleks Arkib Perdana Menteri dan Arkib Negarawan (KAPMAN), secara percuma, di Jalan Dato Onn di sini.

    Menjelajah dari satu ruang ke satu ruang di setiap memorial itu, pengunjung bukan sahaja dapat merasai aura kepimpinan tokoh dalam menuntut kemerdekaan dan pembangunan negara sebaliknya turut berpeluang melihat koleksi peribadi pemimpin berkenaan.

    Sehubungan itu, Ketua Pengarah Arkib Negara (ANM), Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata pihaknya merancang untuk menjadikan kawasan KAPMAN sebagai destinasi pelancongan wajib di ibu negara dengan menawarkan pengalaman pelancongan berasaskan sejarah dan pendidikan.

    “Selain membantu menambahkan pengetahuan dan pengalaman, kunjungan ke tempat ini juga boleh memupuk semangat patriotisme dalam diri pelawat dengan menghargai jasa pemimpin yang telah menabur bakti kepada negara,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

    Jaafar Sidek Abdul Rahman bergambar di sekitar ruang pameran dan gambar arkib negara selepas sesi temu ramah khas bersama wartawan Bernama mengenai Memorial Negarawan di Muzium Memorial Negarawan. – Bernama
    Antara koleksi dan gambar arkib negara milik negarawan dipamerkan di Muzium Memorial Negarawan. – Bernama
    Jaafar Sidek Abdul Rahman bergambar di sekitar ruang pameran dan gambar arkib negara. – Bernama

    Ruang pejabat bagi Perdana Menteri ke-4, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipamerkan di Muzium Memorial Negarawan. – Bernama

    Justeru, katanya, ANM akan bekerjasama dengan perkhidmatan bas ‘KL Hop-On Hop-Off City Tour’ bagi menjadikan KAPMAN sebagai sebahagian dalam pakej pelancongan negara sebagai satu destinasi wajib singgah untuk pelancong dalam dan luar negara.

    “Kerjasama ini akan membantu meningkatkan jumlah pelawat dari dalam dan luar negara berikutan ketersediaan untuk sampai ke lokasi tersebut,” katanya.

    Selain itu, Jaafar Sidek berkata ANM turut menjalinkan kerjasama dengan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan meletakkan pautan Galeri Maya Eksplorasi Negarawan dalam Pelantar Pembelajaran KPM iaitu Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa KPM) bermula bulan ini.

    “Pautan ini sebagai produk pelancongan pendidikan dan memasyarakatkan Arkib Memorial serta sejarah tokoh negarawan kepada semua guru dan pelajar sekolah di bawah KPM yang berjumlah 5.3 juta orang.

    “Buat masa ini, jumlah pelawat maya yang mengunjungi Galeri Maya Eksplorasi Negarawan berjumlah 7,795 sejak dilancarkan pada 10 November 2021 hingga Julai lepas,” katanya yang berharap untuk melihat semua memorial sedia ada dibanjiri dengan pelawat setiap hari dalam mendapatkan pengetahuan dan kefahaman sejarah tokoh negarawan dan negara.

    Bercerita lanjut mengenai Memorial Negarawan, Jaafar Sidek berkata bangunan tiga tingkat itu mengabdikan tujuh tokoh yang telah berusaha menuntut kemerdekaan tanah air, membantu pembentukan Malaysia pada tahun 1963 dan memacu pembangunan negara.

    Tokoh-tokoh tersebut ialah Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun V.T. Sambanthan, Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Mohd Fuad Stephens, Tun Temenggung Jugah anak Barieng dan Tun Dr Lim Chong Eu.

    Jaafar Sidek berkata Memorial Negarawan yang dibuka pada September 2017 adalah bangunan asal Kompleks Jabatan Perdana Menteri dan pameran koleksi memorabilia tujuh tokoh dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak itu diterima antaranya daripada ahli keluarga, sahabat karib serta yayasan berkaitan.

    “Pejabat perdana menteri, pejabat timbalan perdana menteri dan bilik mesyuarat Kabinet dikekalkan sebagai pameran utama di Memorial Negarawan kepada pengunjung dan penyelidik dalam membuat rujukan,” katanya.

    Jaafar Sidek berkata memorial itu diwujudkan bagi mengenang jasa dan sumbangan tujuh tokoh ini dalam memperjuangkan kemerdekaan negara dan penubuhan Malaysia selain terlibat dalam penggubalan dasar serta pembangunan negara.

    “Ini selaras dengan Seksyen 40, Akta Arkib Negara 2003 berkaitan penubuhan Arkib Menteri dan Arkib Memorial. ANM bertanggungjawab menyimpan, memelihara dan memulihara warisan khazanah negara selain menyediakan kemudahan penyelidikan berkaitan tokoh-tokoh negarawan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...